LAWAS: Kegembiraan sekumpulan kanak-kanak yang sedang mandi bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dilaporkan hilang dikhuatiri lemas di Kampung Tanjong Katong, Sundar, Lawas hari ini.
Mangsa, Nabil Suhaili, 12, sedang mandi bersama lima rakannya sebelum dilaporkan hilang dalam kejadian jam 3.10 petang.
Ketua Zon 7 Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu jam 3.11 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas bergegas ke Kampung Tanjong Katong, Sundar untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Kaedah pencarian di permukaan air dijalankan melibatkan radius lima kilometer di sepanjang Sungai Sundar menuju ke hilir,” katanya hari ini.
Selain bomba turut menyertai operasi SAR ialah penduduk kampung terbabit.