Anda di sini

1,500 peluang pekerjaan disediakan di Tawau

Advertisement
 Yakub bersama tetamu kehormat dan pengunjung yang hadir dalam karnival tersebut.
PENGUNJUNG: Yakub bersama tetamu kehormat dan pengunjung yang hadir dalam karnival tersebut.

TAWAU: Sebanyak 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Perdana peringkat daerah Tawau di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, di sini pagi tadi.

Penganjuran karnival ini melibatkan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata sebanyak 23 majikan pelbagai sektor swasta daripada Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung telah menyertai karnival kali ini.

Katanya, karnival ini adalah satu platform yang dapat menghubungkan belia atau pencari kerja dengan syarikat-syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan.

“Usaha JPSM dan PERKESO dalam menganjurkan program sebegini akan membuka lebih banyak peluang serta dapat membantu belia atau pencari kerja di daerah ini.

“Kerajaan negeri akan terus mengambil pelbagai inisiatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan kemahiran khususnya kepada belia tempatan,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini hari ini.

Menurutnya, belia disaran supaya tidak terlalu memilih pekerjaan pada ketika ini dan terus mengambil peluang untuk menimba pengalaman.

“Mungkin peluang pekerjaan yang disediakan bukan pilihan ataupun sesuai dengan kelulusan yang mereka ada, tetapi ia boleh dijadikan sebagai permulaan untuk memasuki alam pekerjaan.

“Jadikan pekerjaan itu sebagai tempat menimba ilmu dan mencari pengalaman sebanyaknya untuk mendapatkan pekerjaan yang dihajatkan kelak,” katanya.

Yakub berkata usaha ini diharapkan dapat mengurangkan peratusan pengangguran, sekali gus menjana ekonomi rakyat di negeri ini.

Katanya, sambutan majikan di seluruh negara terhadap usaha ini sangat menggalakkan dan telah merekodkan lebih 200 syarikat yang berdaftar melalui portal Sabah Job.

“Kita mengharapkan masa akan datang lebih banyak majikan khususnya syarikat tempatan di Sabah akan menyertai karnival ini.

“Saya juga berharap agar belia dan pencari kerja yang hadir kali ini, memperoleh tawaran pekerjaan yang terbaik dan karnival ini dapat berjalan dengan jayanya,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy; Setiausaha Tetap KSTI Sabah, Zainudin Aman; Setiausaha Tetap 1 KSTI Sabah, Maria Chong; Pengarah JPSM Sabah, Tianinun Iping dan Pengarah PERKESO Sabah, Mohd Ali Hindia.

  • oleh
  • Advertisement