Anda di sini

SMK Lutong dilanda bah akibat hujan berterusan

Advertisement
Kawasan Kampung Long Bemang yang dinaiki air banjir.
Kawasan Kampung Long Bemang yang dinaiki air banjir.

MIRI: Hujan lebat berterusan sejak malam pada Jumaat mengakibatkan sebahagian kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, di sini dinaiki air banjir pagi ini. 

Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Nizam Sapaiee berkata laporan yang diterima pihaknya sekitar jam 8 pagi mendapati sekolah dinaiki air setinggi satu kaki di depan flat kediaman staf, asrama pelajar dan di tepi dewan makan. 

“Mereka yang terjejas adalah 108 murid asrama dan juga penghuni flat kediaman staf yang terpaksa melalui air setinggi satu kaki. 

“Tiada kemalangan berlaku akibat kejadian ini, bagaimanapun pihak sekolah telah mengingatkan murid asrama supaya menjauhi kawasan yang dinaiki air,” katanya dalam satu kenyataan media di sini. 

Ahmad Nizam berkata walaupun dilanda banjir, namun aktiviti di sekolah tersebut berjalan seperti biasa dan pihak sekolah menyediakan titi untuk murid asrama berjalan dari asrama ke dewan dan kelas. 

Sementara itu, Ahmad Nizam memberitahu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng turut menjalankan rondaan malam pada Jumaat di beberapa kawasan yang kerap berlaku kejadian banjir.
 
“Antara kawasan yang dipantau seperti Jalan Miri-Bypass, Jalan Miri-Pujut, Pantai Lutong dan perumahan Bay Shore. 

“Kawasan banjir kilat yang sering berlaku akibat dari pasang besar dan hujan lebat didapati dalam keadaan terkawal semasa rondaan dibuat,” ujarnya. 

Sementara itu, beliau berkata kawasan lain yang turut dilaporkan banjir adalah Kampung Long Bemang, Baram. 

“Laporan diterima dari Pasukan Bomba Sukarela Long Bemang pada jam 8.41 pagi memaklumkan kampung tersebut dilanda banjir bermula jam 3 pagi dengan paras air setinggi 0.7 kaki. 

“Seramai 530 orang yang mendiami 100 buah rumah di kampung tersebut terjejas akibat kejadian ini namun tiada perpindahan dibuat,” katanya. 

Ahmad Nizam berkata tindakan awal di kampung tersebut ialah menutup bekalan elektrik demi keselamatan penduduk. 

  • oleh
  • Advertisement