Anda di sini

Sambutan Hari Kemerdekaan perlu rentasi fahaman politik

Advertisement
 Suryady (tiga kanan) menerima cendera kenangan dan Jalur Gemilang daripada Azuary (dua kanan).
MERDEKA: Suryady (tiga kanan) menerima cendera kenangan dan Jalur Gemilang daripada Azuary (dua kanan).

TAWAU: Sambutan Hari Kemerdekaan perlu merentasi fahaman politik, agama dan bangsa kerana ia adalah penghargaan terhadap pejuang terdahulu terutamanya mereka yang terlibat dalam memerdekakan negara.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata perjuangan perwira dan pemimpin dahulu perlu diingati dan dihargai oleh semua rakyat Malaysia.

“Tanpa perjuangan mereka, sudah pasti kita tidak dapat mengecapi kehidupan dengan aman dan damai, malah negara juga terus dijajah oleh negara asing.

“Justeru, hari kemerdekaan ini harus diraikan dan disambut oleh semua rakyat di negara ini tanpa dibatasi dengan sebarang fahaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Merdeka@Komuniti Keluarga Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, di sini hari ini.

Katanya, program yang dianjurkan bersama Jabatan Penerangan Daerah Tawau ini sangat bermanfaat bagi memupuk semangat cintakan negara.

“Setiap warganegara Malaysia perlu mengibarkan Jalur Gemilang di rumah ataupun premis mereka masing-masing sebagai tanda menyemarakkan bulan kemerdekaan.

“Kita berharap, dengan adanya program ini dapat memberi kesedaran dan memperingati hari bersejarah negara terutamanya generasi muda,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, program ini dimulakan di peringkat kampung di seluruh daerah Tawau.

“Beberapa program serupa akan dilaksanakan di setiap DUN di daerah ini supaya setiap dapat pendedahan dan merasai sambutan bulan kemerdekaan.

“Saya optimis platform ini adalah medan terbaik bagi memberi kesedaran kepada setiap rakyat dalam menghargai jasa dan pengorbanan pejuang negara,” katanya.

Terdahulu, program tersebut turut dihadiri Pegawai Penerangan Tawau, Azuary Abdul Azis dan lebih 200 orang terdiri komuniti kampung dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu.

  • oleh
  • Advertisement