Anda di sini

Projek sekolah daif tidak terjejas dengan langkah penjimatan kerajaan: Arthur

Advertisement
 Arthur (tiga kiri) menyerahkan plak sebagai gimik penyerahan kepada Guru Besar sempena majlis itu.
SERAHKAN: Arthur (tiga kiri) menyerahkan plak sebagai gimik penyerahan kepada Guru Besar sempena majlis itu.



KOTA KINABALU: Projek-projek menaiktaraf sekolah daif terutamanya di Sabah tidak terjejas walaupun kerajaan telah mengambil beberapa langkah penjimatan bagi membantu meningkatkan jumlah subsidi ketika ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.


Jelas beliau, sebanyak 131 sekolah daif telah diamanahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai Agensi Pelaksana oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kos keseluruhan projek naiktaraf sebanyak RM1.22 bilion.


Mengulas lanjut, Arthur memberitahu, projek sekolah daif merupakan salah satu keutamaan kerajaan dan Kementerian Kerja Raya yang memberikan manfaat yang khusus bagi rakyat Malaysia.


"Projek yang berteraskan kepada keperluan rakyat mencerminkan keprihatinan Kerajaan dalam memastikan anak-anak kecil 'Keluarga Malaysia' mendapat infrastruktur dan persekitaran pendidikan yang selesa bagi membolehkan mereka mencapai perkembangan diri yang optimum, " katanya.


Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam satu majlis penyerahan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Simbuan kepada Guru Besarnya, hari ini.


Mengenai bangunan baharu SK Simbuan Arthur berkata, sejumlah RM5.093 juta diperuntukkan bagi membina enam unit bilik darjah, bangunan pentadbiran, dua unit rumah guru, makmal sains serta lain-lain kemudahan berkaitan.


Persekitaran pembelajaran katanya, memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.


"Persekitaran fizikal seumpama guru ketiga yang membimbing pembelajaran dalam bilik darjah.
"Para pelajar akan dapat memberi lebih penumpuan terhadap pembelajaran apabila mereka berada dalam situasi yang selamat dan selesa.


"Projek menaiktaraf sekolah daif ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan pembangunan infrastruktur pendidikan yang selesa dan selamat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, " katanya.


Tambah beliau lagi, kerajaan terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan demi masa depan pewaris negara.


Turut hadir Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan JKR Malaysia, Dato’ Ir. Balamurugan a/l A Gopal; Jurutera Awam Penguasa Kanan JKR Malaysia; Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah dan Ketua Penolong Pengarah/Projek Bangunan JKR Sabah Andrew Durat Misum.

  • oleh
  • Advertisement