Anda di sini

Poliklinik ATM mudahkan urusan perkhidmatan perubatan anggota, veteran

Advertisement
Hishammuddin melakukan simbolik perasmian Poliklinik Kesihatan ATM di Kem Penrissen di Kuching semalam. -Gambar oleh Chimon Upon
Hishammuddin melakukan simbolik perasmian Poliklinik Kesihatan ATM di Kem Penrissen di Kuching semalam. -Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk veteran khasnya di Sarawak menarik nafas lega setelah Poliklinik ATM di Kem Penrissen di sini siap dibina dan dirasmikan semalam.

Perasmian Poliklinik ATM pertama itu disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Hishammudin, poliklinik berkeluasan 13,643 persegi itu bakal memberi manfaat kepada lebih 12,000 anggota ATM, keluarga dan veteran di Kuching dan kawasan sekitar.

"Isu kebajikan anggota dan veteran ATM sentiasa menjadi keutamaan dan ia tidak bermusim, tidak berkisar dengan pertimbangan politik dan bukan perkara yang boleh digembar-gemburkan sewenang-wenangnya.

"Ini kerana untuk membina sebuah poliklinik seperti ini saya dapat melihat sendiri semangat bukan sahaja dalam kalangan doktor, malah anggota serta veteran yang perlu membuat dialisis.

"Pembelaan sama ada dalam konteks kesihatan, latihan, pendidikan, perumahan… itu semua kita telah lakukan. 
Namun saya berharap dalam masa terdekat, dasar yang diwariskan kepada kepimpinan Kementerian Pertahanan Malaysia dapat memastikan momentum diwujudkan hari ini dapat diteruskan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Poliklinik Kesihatan ATM di Kem Penrissen di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Hishammuddin berkata, setakat ini beberapa Poliklinik ATM masih dalam proses pembinaan iaitu di Johor, Terengganu dan Kedah.

Berhubung keselamatan negeri Sarawak, Hishammuddin berkata, beliau akan berjumpa dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk berbincang mengenai isu keselamatan negeri dan rakyat Sarawak.

Beliau katanya, sebagai Menteri Pertahanan akan memberi jaminan bahawa keselamatan negeri dan rakyat di negeri ini terjamin.

"Dalam konteks keselamatan di Sarawak, saya akan edarkan mengenai apa yang akan kita rancang dan perkara ini merupakan sesuatu yang kita tidak akan pernah kompromi," tegasnya.

Mengenai kesiapsiagaan ATM di Sarawak katanya, anggota yang ditempatkan di negeri ini mencukupi dan apa yang penting ialah kem yang ada perlu dinaik taraf, membina kem baharu, klinik baharu dan ia perlu dilihat secara menyeluruh.
 

  • oleh
  • Advertisement