Anda di sini

Pertemuan dengan TNC Penyelidikan, Inovasi tingkat hala tuju BorIIS UMS

Advertisement
 Rosalam (enam kiri) mengambil gambar kenangan bersama warga BorIIS selepas merasmikan mural. Turut kelihatan Normah (lima kanan).
KENANGAN: Rosalam (enam kiri) mengambil gambar kenangan bersama warga BorIIS selepas merasmikan mural. Turut kelihatan Normah (lima kanan).

KOTA KINABALU: Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Sesi Interaksi bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, di sini kelmarin.

Pengarah BorIIS UMS Prof. Madya Dr. Normah Abd Latip berkata, program itu antara lain bertujuan untuk membincangkan hala tuju penyelidikan UMS khususnya yang berkaitan dengan institut berkenaan.

“Pelbagai perkongsian dan pandangan diutarakan dalam usaha untuk terus memperkasakan lagi peranan institusi kajian ini.

“Antaranya termasuklah perbincangan Pemantapan Kursi Indigenous Sabah serta beberapa jalinan kerjasama yang akan diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Normah berkata, pihaknya akan menjalinkan hubungan kerjasama melalui Research Agreements (RA) Projek Pembangunan Darau River Cruise (DRC) pada 14 Ogos 2022.

“Projek ini akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin. 

“Kita juga akan mengadakan kerjasama dengan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dan sebuah kerjasama antarabangsa bersama Badan Riset dan Inovasi Nasional  (BRIN) Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, Normah turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor atas kesudian hadir dan menjayakan program tersebut.

“Sudah pasti BorIIS akan terus berusaha untuk menggiatkan lagi pelbagai aktiviti khususnya dalam bidang penyelidikan yang berkaitan dengan kebudayaan dan hal ehwal orang asal di negeri ini.

“Pada masa yang sama, kita juga mengalu-alukan penglibatan masyarakat daripada pelbagai etnik di Sabah untuk menyumbang idea dan terlibat sama dalam mengangkat martabat keunikan budaya bumi di Bawah Bayu ini,” katanya.

Pada sesi tersebut, Rosalam turut menyempurnakan Perasmian Mural Indigenous BorIIS di Bangunan Sains Sosial, UMS. 

Hadir sama, Timbalan Pengarah BorIIS Dr. Jeannet Stephen, kakitangan akademik, felo dan ketua-ketua kluster penyelidikan BorIIS.

Advertisement