Anda di sini

Pasaran getah dijangka diniagakan dalam julat kecil minggu depan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam julat kecil pada minggu depan seiring dengan beberapa spekulatif belian menjelang ketidaktentuan global yang berterusan.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata ketegangan yang berlanjutan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke Taiwan baru-baru ini tidak membantu program pemulihan pasca COVID-19 di seluruh dunia.

“Kami tidak melihat sebarang jangkaan konfrontasi di antara kedua-dua kuasa besar ini, ditambah pula dengan konflik di Ukraine, sekali gus akan terus menyebabkan ketidakpastian.

“Ini tidak memberi rangsangan kepada ekonomi global,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga dan permintaan mungkin hanya melonjak atau merosot secara mendadak, bergantung kepada kelebihan sebarang komoditi tertentu.

“Kami percaya getah merupakan komoditi yang bermanfaat dan kami berpendapat, beberapa aktiviti pengisian stok yang juga proses biasa untuk menambah stok selanjutnya, mungkin meningkatkan minat pada minggu-minggu akan datang,” katanya.

Oleh itu, beliau menjangkakan pasaran berkecenderungan meningkat secara beransur-ansur pada minggu ini dan minggu-minggu akan datang.

“Kami juga menyedari keadaan cuaca luar biasa yang dilihat mengakibatkan musim hujan lebih kerap di kawasan pengeluaran getah berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjejaskan pengeluaran getah.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan minggu ini sebagai sibuk apabila pembeli lebih berminat untuk menambah stok.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran getah kebanyakannya rendah, menjejaki penyusutan harga minyak mentah dan pasaran niaga hadapan getah serantau serta prospek ekonomi global yang suram.

Sementara itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi optimis bahawa Malaysia berupaya meraih hasil eksport sarung tangan getah sebanyak RM23.6 bilion pada tahun ini.

MARGMA dalam Taklimat Industri 2022 pada Rabu mengunjurkan hasil eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka mencapai RM23.6 bilion pada tahun ini berbanding RM17 bilion pada 2019.

Menurut persatuan itu, kadar pertumbuhan permintaan sarung tangan getah dari tahun ke tahun diunjurkan pada 10 hingga 12 peratus pada 2022. 

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, urus niaga getah gred Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 ditutup rendah 16.5 sen kepada 664.5 sen sekilogram berbanding 681 sen sekilogram pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, susu getah pukal menokok 1.5 sen kepada 532.5 sen sekilogram berbanding 531 sen sekilogram semasa ditutup pada minggu sebelumnya.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi GMM 20 pada 674.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal 535.0 sen sekilogram. - BERNAMA
 

Advertisement