Anda di sini

MMA Sarawak seru doktor swasta, kerajaan saling bekerjasama

Advertisement
Tiong (enam kanan) menerima cenderamata daripada Dr Liew (kiri) selepas menyempurna perasmian Majlis Makan Malam MMA 2022 sempena Ulang Tahun Ke-50 MMA Sarawak di Bintulu, malam Jumaat.
Tiong (enam kanan) menerima cenderamata daripada Dr Liew (kiri) selepas menyempurna perasmian Majlis Makan Malam MMA 2022 sempena Ulang Tahun Ke-50 MMA Sarawak di Bintulu, malam Jumaat.

BINTULU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sarawak menyeru doktor-doktor swasta dan kerajaan agar saling bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain dalam pelaksanaan aktiviti melalui MMA serta dalam penyediaan perkhidmatan.

Pengerusinya Dr Liew Shan Fap berkata, MMA bukan hanya untuk doktor swasta bahkan doktor kerajaan yang menuntut kedua-duanya membantu antara satu sama lain dalam banyak aktiviti yang diadakan, antaranya pendidikan perubatan berterusan (CME).

Menurutnya, kedua-dua pihak juga perlu saling kenal-mengenali antara satu sama lain dan menjalin hubungan baik dengan harapan dapat membentuk pasukan yang kuat untuk manfaat ahli-ahli cawangan MMA.

"MMA amat penting sebagai landasan untuk mengukuhkan hubungan antara doktor kerajaan dan swasta," ujarnya pada Majlis Makan Malam MMA 2022 sempena Ulang Tahun Ke-50 MMA Sarawak di Greens Hotel and Suites di sini, malam Jumaat.

Justeru, beliau menggalak doktor-doktor di negeri ini untuk menjadi ahli MMA memandangkan MMA penting dalam membantu mereka yang terlibat dalam kerjaya bidang perubatan.

Beliau berkata, MMA adalah antara persatuan yang aktif di negeri ini, termasuk cawangan Bintulu yang memberi banyak manfaat kepada ahli-ahlinya.

Pada masa sama, Dr Liew mengucapkan tahniah atas pelantikan Dr Vaishinnee Karunakaran sebegai pengerusi baharu MMA Bintulu dan ahli jawatankuasa lain yang turut dipilih.

"Dengan pemilihan pengerusi baharu ini, diharap beliau akan dapat melaksanakan tugas dengan baik, sekali gus dapat mengadakan pertemuan secara bersemuka bersama ahli-ahlinya dengan harapan negara dapat keluar dari pandemik (COVID-19)," katanya.

Mesyuarat Agung Tahunan MMA itu menyaksikan Dr Vaishinnee dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa kecil MMA Bintulu yang baharu, manakala Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Bintulu Dr Jeremiah Ding Deck Shen sebagai Pengerusi Section Concerning House Officers, Medical Officers and Specialists (SCHOMOS) MMA Bintulu.

Duta Khas Perdana Menteri ke China merangkap Ahli Parlimen Bintulu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing menyempurnakan perasmian majlis tersebut. 

Hadir sama Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Bintulu Dr Rawa Bau dan bekas Pengerusi Jawatankuasa kecil MMA Bintulu Dr Syazwani Arshad.
 

  • oleh
  • Advertisement