Anda di sini

KM13 Jalan Empangan Murum runtuh, penduduk terputus hubungan

Advertisement
Anggota BBP Belaga memantau tanah runtuh yang meranapkan 90 peratus jalan di KM13 Jalan Empangan Murum, petang Jumaat. – Gambar BBP Belaga
Anggota BBP Belaga memantau tanah runtuh yang meranapkan 90 peratus jalan di KM13 Jalan Empangan Murum, petang Jumaat. – Gambar BBP Belaga

BINTULU: Penduduk di kawasan Murum terputus hubungan apabila sebahagian jalan raya di KM13 Jalan Empangan Murum berdekatan Sungai Peran runtuh, petang Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga Pegawai Bomba Kanan II Helman Main yang mengesahkan kejadian itu berkata, jalan berkenaan turut menjadi laluan penduduk Kampung Metalun, Linau dan kawasan sekitarnya.

“Sepasukan anggota bomba dari BBP Belaga dikerah bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.10 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Helman berkata, setibanya anggota di lokasi, didapati sememangnya berlaku tanah runtuh yang meranapkan kira-kira 90 peratus jalan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tanah runtuh itu berpunca daripada hujan lebat di kawasan terbabit sejak beberapa hari lepas.

“Setelah melakukan pemantauan, pasukan bomba mendapati jalan berkenaan tidak selamat untuk dilalui oleh kenderaaan kecil dan sederhana.

“Justeru, ia ditutup serta-merta sementara menunggu dibaiki,” ujarnya.

Katanya lagi, maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengatakan pihaknya akan membaiki laluan berkenaan pada hari ini.
 

  • oleh
  • Advertisement