Anda di sini

KGKS berperanan bentuk modal insan berkualiti

Advertisement
 Nizam bersama ahli KGKS semasa merasmikan mesyuarat agung pertubuhan itu.
KENANGAN: Nizam bersama ahli KGKS semasa merasmikan mesyuarat agung pertubuhan itu.

TAWAU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) dapat memainkan peranan dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang dan mencapai matlamat pendidikan berkualiti untuk semua murid.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata peranan pendidikan adalah untuk membina dan membangunkan potensi setiap murid tanpa mengira perbezaan kaum mahupun agama.

“Sokongan ahli KGKS mampu meningkatkan daya saing guru-guru di negeri Sabah dan membina negara maju melalui sistem pendidikan berkualiti.

“Dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti dan bersahsiah tinggi, sistem pendidikan perlu berpaksi teguh kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat agung dwi tahunan kali Ke-21 KGKS cawangan Tawau, di sini hari ini.

Menurutnya, pembangunan modal insan secara holistik melalui sistem pendidikan yang baik berupaya merangsang serta mencipta kejayaan negara di persada dunia.

“Justeru, di sinilah yang akan menjadi kayu ukur KGKS sebagai kesatuan sekerja yang unggul dalam mencemerlangkan profesion keguruan.

“Kerajaan negeri, amat menghargai usaha pertubuhan ini dalam membantu membangunkan kemajuan pendidikan anak bangsa,” katanya.

Nizam berharap guru-guru di negeri ini akan sentiasa berusaha meningkatkan tahap profesionalisme dalam menjalankan tugas.

“Tumpukanlah sepenuh perhatian kepada tugasan yang diberi dan sesuai dengan keadaan semasa kerana kaedah pengajaran hari ini amat mencabar.

“Saya juga berharap agar KGKS akan sentiasa menambah keahlian bagi membolehkan segala permintaan mendapat perhatian daripada pihak yang berkepentingan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, majlis ini sangat bermakna kerana jawatankuasa dapat bertemu dan berbincang mencari kata sepakat, demi kepentingan masa depan kemajuan pendidikan anak-anak di daerah ini.

“Permuafakatan seumpama inilah yang menjadi kunci kejayaan sesebuah organisasi yang dibentuk dan saya berharap persetujuan bersama dapat dicapai tanpa menimbulkan masalah kepada semua pihak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement