Anda di sini

Kemudahan katil di PKRC disumbang kepada beberapa sekolah di Sri Aman

Advertisement
Harden (enam kanan) menyerahkan sumbangan katil yang digunakan di PKRC kepada beberapa sekolah dan Hospital Bahagian Sri Aman.
Harden (enam kanan) menyerahkan sumbangan katil yang digunakan di PKRC kepada beberapa sekolah dan Hospital Bahagian Sri Aman.

KUCHING: Kemudahan katil yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman dan PKRC Dewan Komuniti Taman Harmoni disumbangkan kepada beberapa sekolah menengah dan rendah di daerah Sri Aman. 

Sebanyak 151 katil bertingkat lengkap dengan tilam dan bantal ditempatkan di dua PKRC tersebut untuk kegunaan pesakit COVID-19 yang dirawat dan di bawah perintah kuarantin. 

Simbolik penyerahan sumbangan telah diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis selaku Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman. 

Penerima terdiri daripada lima sekolah rendah iaitu SK Klassen yang menerima 20 katil, SK Paku (20), SK Skrang (20), SK Batu Lintang (20) dan SK Melugu (20) serta empat sekolah menengah iaitu SMK Simanggang (8), SMK St Luke (7),  SMK Sri Aman (8) dan SMK Melugu (8).
 
Selain sekolah berkenaan, Hospital Bahagian Sri Aman juga diperuntukkan 20 katil bertingkat lengkap dengan bantal dan tilam sebagai tambahan kepada jumlah katil sedia ada bagi menampung keperluan pesakit di hospital berkenaan. 

Harden dalam pada itu mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bekerja keras memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal. 

Beliau turut berharap sumbangan katil ini akan dapat memberi keselesaan kepada pelajar sekolah berkenaan serta pesakit di hospital berkenaan. 

Hadir sama Residen Bahagian Sri Aman Sirai Daha, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Mahiyuddin Abdul Rahman, Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman Dr Euphrasia Bari dan Pengarah Hospital Sri Aman Dr Hazwani Mohd Yusop. 
 

  • oleh
  • Advertisement