Anda di sini

Isteri pilu, ketibaan di Sabah disambut berita kematian suami, dua anak

Advertisement
Utusan Borneo
Utusan Borneo

KOTA KINABALU: Kesedihan seorang wanita tidak dapat digambarkan selepas ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini disambut berita kematian suami serta dua anaknya.

Jeanilee Escobar Assam, 46, baharu mendarat di ibu negeri selepas kembali dari Manila, Filipina atas urusan kerja kira-kira jam 3.28 pagi sebelum diberitahu tentang kemalangan ngeri yang menimpa keluarganya itu.

Beliau sebelum ini dijadualkan tiba pada jam 12.50 di KKIA namun penerbangannya tertunda dan hanya menaiki pesawat dari Manila ke Kota Kinabalu jam 1.38 pagi.

Sebaik tiba di KKIA, dia terus dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE1) Kota Kinabalu, sebelum terpaksa ditenangkan ahli keluarga lain.

Sementara itu bapa saudara kepada mangsa maut Jimmykal Assam, Nazro Harun, 42, berkata dia amat terkejut apabila mendapat berita kemalangan membabitkan anak saudara dan dua cucunya.

“Sebaik menerima berita itu, saya bergegas ke lokasi dan hati saya amat pilu apabila melihat ketiga-tiga ahli keluarga saya itu sudah meninggal dunia.

"Anak saudara saya bersama anaknya dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke KKIA untuk menjemput isterinya selepas seminggu berada Filipina atas urusan kerja,” katanya.

Tambahnya mereka sekeluarga terutama ibunya amat terkejut dan sedih kerana bukan sahaja kehilangan suami malah kedua-dua anaknya," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HQE I.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat permukaan jalan yang licin akibat hujan.

“Pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaannya yang terbabas sendiri sebelum merempuh tiang jejambat berkenaan.

“Pemandu tidak disyaki mabuk, namun, sampel darah mangsa akan diambil semasa proses bedah siasat untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesahan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, dalam kejadian jam 11.24 malam itu tiga mangsa maut iaitu Jimmykal Jaujali Assam, 44, dan dua anaknya Sazfa, 11 dan Alkail, 16.

Seorang anggota keluarga kanak-kanak lelaki berusia empat tahun turut parah dan kini menerima rawatan di HQE1.

  • oleh
  • Advertisement