Anda di sini

HWKKS bakal punyai Rumah Ronald McDonald

Advertisement
  Azmir (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Aaron (tengah).
TERIMA KASIH: Azmir (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Aaron (tengah).

KOTA KINABALU: Rumah Ronald McDonald bakal dibuka di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) pada awal tahun depan.

Presiden Ronald McDonald Charity House (RMCH) Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata, penginapan amal tersebut adalah yang pertama di Malaysia Timur dan keempat seumpamanya di Malaysia.

"Tiga lagi Rumah Ronald McDonald terdapat Semenanjung Malaysia iaitu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

"Setakat ini, pembinaan Rumah Ronald McDonald di Sabah masih dalam peringkat memohon kelulusan daripada kerajaan negeri dan sekiranya semua proses berjalan lancar, pembinaannya dijangka bermula Oktober ini dan akan dibuka kepada orang awam sekitar Mac atau April 2023.

"Dengan adanya rumah ini diharap dapat sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga pesakit kanak-kanak terutama daripada golongan berpendapatan rendah dengan penyediaan penginapan pada harga berpatutan iaitu hanya RM5 semalam.

"Sekiranya tiada aral melintang,  Rumah Ronald McDonald kelima dijangka akan dibina di Sarawak pada penghujung tahun 2023 atau awal 2024," katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara RMHC Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pembukaan Rumah Ronald McDonald di HWKKS di sini, pada Jumaat.

Azmir menandatangani memorandum tersebut bagi pihak RMHC Malaysia bersama Pengurus Besar RMHC Malaysia Mohd Nasri Mohd Nordin, manakala KKM diwakili Ketua Setiausaha, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh dan HWKKS diwakili oleh Pengarah HWKKS, Dr. Marcus Netto.

Majlis menandatangani memorandum itu disaksikan oleh wakil Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin.

Rumah Ronald McDonald HWKKS akan dilengkapi 16 bilik keluarga dan kemudahan lain seperti dapur, ruang makan, bilik dobi, ruang istirahat, bilik permainan kanak-kanak dan juga bilik solat yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM3 juta.
 

Advertisement