Anda di sini

Elak didenda hilang kad pengenalan, lelaki buat laporan palsu dirompak

Advertisement
 

KUCHING: Gara-gara mahu mengelak didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan, seorang lelaki sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya dirompak.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, tindakan suspek berusia 22 tahun itu hanya mengundang padah kepada dirinya apabila helahnya itu terbongkar semasa siasatan polis dijalankan.

Susulan itu, suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuching di bawah Seksyen 183 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan polis mendapati suspek hanya mereka-reka cerita bagi mengelak didenda oleh JPN kerana kehilangan kad pengenalan.

"Suspek jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambah Ahsmon, sejak Januari hingga Ogos, sebanyak lima laporan palsu melibatkan kejadian samun dan ragut dikesan di Kuching dan kesemua suspek telah dijatuhkan hukuman.

"Polis ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu sehingga memberikan gambaran negatif berlakunya kejadian jenayah di Kuching.  

"Kita tegas akan mengambil tindakan terhadap individu yang berbuat sedemikian," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement