Anda di sini

Bapa, dua anak maut kereta terbabas rempuh tiang flyover

Advertisement
 Kenderaan mangsa yang mengalami kerosakan teruk selepas kemalangan.
REMUK: Kenderaan mangsa yang mengalami kerosakan teruk selepas kemalangan.
 Pasukan Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda.
TERSEPIT: Pasukan Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda.

KOTA KINABALU: Tiga sekeluarga maut selepas kereta pacuan empat roda yang dinaiki terbabas sendiri dan merempuh tiang laluan bertingkat (flyover) di Jalan Lintas Luyang di sini.

Kesemua mangsa maut masing-masing dikenalpasti sebagai Jimmykal Assam, 44 dan dua anaknya Sazfa, 11 serta Alkail, 16.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian jam 11.24 malam itu juga menyebabkan seorang lagi anggota keluarga mengalami kecederaan parah.

“Siasatan awal kejadian mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan dari sebuah apartment di Rampayan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) melalui Jalan Lintas.

“Semasa berada di Jalan Lintas berhampiran simpang Klinik Luyang, kenderaan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tiang besar flyover berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata impak pelanggaran menyebabkan dua individu yang berada di bahagian penumpang belakang tercampak keluar manakala pemandu serta penumpang hadapan tersepit.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan pada jam 11.42 malam.

“Seorang lagi mangsa berumur empat tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan rapi di Zon Merah Hospital Queen Elizabeth (HQE),” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati kejadian disebabkan kecuaian pemandu yang membawa kenderaan secara melulu di permukaan jalan yang licin akibat hujan.

Beliau bagaimanapun berkata kejadian masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.31 malam.

“Bertindak dengan maklumat sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi bagi melakukan operasi penyelamatan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kenderaan menggunakan peralatan khas,” katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya operasi ditamatkan jam 12.43 tengah malam.

  • oleh
  • Advertisement