Anda di sini

1,690 kartun rokok bernilai RM252,432 dirampas

Advertisement
Pemeriksaan dilakukan oleh pasukan operasi.
Pemeriksaan dilakukan oleh pasukan operasi.

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak merampas 32 kotak mengandungi 1,690 kartun rokok pelbagai jenama pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua rokok yang dianggarkan bernilai RM252,432 terbabit disyaki tiada cukai Kastam.

Menurutnya, rampasan tersebut dibuat di bawah Op Kontraban.

"Serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Jalan Setia Raja dan telah merampas 32 kotak yang mengandungi 1,690 kartun rokok pelbagai jenama kerana disyaki tidak bercukai.

"Dalam operasi ini, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun turut ditangkapu untuk membantu siasatan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 atau denda 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000.

"Hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun juga boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan," katanya.

Tegas Ahsmon, operasi seumpama itu akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan tersebut boleh tampil terus dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
 

  • oleh
  • Advertisement