Anda di sini

10 kedai di pekan Sebuyau musnah terbakar

Advertisement
Api marak meranapkan bangunan kedai tersebut.
Api marak meranapkan bangunan kedai tersebut.

SEBUYAU: Sebanyak 10 kedai di pekan Sebuyau dilaporkan musnah dalam kebakaran membabitkan dua blok bangunan hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.20 petang.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dan Asajaya bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.

"Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua blok bangunan kedai jenis struktur separuh kekal yang telah musnah terbakar sepenuhnya.

"Blok bangunan kedai tersebut masing-masing mempunyai enam dan empat lot kedai," katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, bomba menggunakan pam angkut dengan sumber air terbuka serta pili bomba untuk memadam kebakaran tersebut.

"BBP Simunjan menggunakan dua aliran masing-masing 200 kaki dan 600 kaki dengan tiga nozel air dari pili bomba dan dua aliran 400 kaki, dua nozel menggunakan pam angkut sumber air terbuka.

"Manakala, BBP Asajaya membentangkan dua aliran, 200 kaki, dua nozel," katanya.

Sehingga berita ini, difahamkan kerja-kerja memadam kebakaran masih giat dijalankan.

Difahamkan juga tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak.
 

  • oleh
  • Advertisement