Anda di sini

Wujudkan lebih banyak Program Pendidikan Khas Integrasi

Advertisement
Fatimah (kanan) melawat kelas Program Pendidikan Khas Integrasi yang ditawarkan kepada anak-anak berkeperluan khas di SJK Chuang Hua No.1 Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Fatimah (kanan) melawat kelas Program Pendidikan Khas Integrasi yang ditawarkan kepada anak-anak berkeperluan khas di SJK Chuang Hua No.1 Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Lebih banyak Program Pendidikan Khas Integrasi perlu diwujudkan di sekolah-sekolah bagi anak-anak berkeperluan khas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah. 

Menurutnya, sumber daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menunjukkan terdapat sebanyak 211 sekolah rendah dan menengah kebangsaan menyertai program itu merangkumi prasekolah (14), sekolah rendah (136) dan sekolah menengah (61). 

Bagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) pula, ia melibatkan sebanyak 18 sekolah merangkumi sebuah prasekolah dan sekolah rendah (17). 

“Untuk prasekolah SJKC, hanya ada sebuah sahaja dan kita perlukan lebih banyak kerana lebih banyak lebih baik untuk anak-anak berkeperluan khas,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pendidikan Khas Integrasi di SJK Chung Hua No.1 di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Penganjur Rodger Chan dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad.

Fatimah berkata, selain pendidikan, usaha memperkasakan anak-anak berkeperluan khas turut ditekankan menerusi sukan. 

Kementerian katanya, komited menyediakan akses untuk membolehkan anak-anak berkeperluan khas cemerlang dalam sukan. 

Antaranya, Special Olympics yang mana ditubuhkan untuk menghentikan diskriminasi terhadap mereka dengan ketidakupayaan intelektual, jelasnya.

Hari ini kata Fatimah, terdapat lima juta atlet dengan ketidakupayaan intelektual dari 180 negara terlibat dalam program Special Olympics di seluruh dunia. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Rendah Chung Hua Kuching No.1 hingga 6 Dato Jonathan Chai berkata, selain SJK Chung Hua No.1, tiga lagi SJK Chung Hua iaitu SJK Chung Hua Siburan, SJK Chung Hua Serian dan SJK Chung Hua Taiton Bau turut menawarkan pendidikan khas kepada anak-anak berkeperluan khas. 

“Hari ini kita bersyukur menyaksikan perasmian kelas bagi pendidikan khas di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi ini. 

“Kami bermula dengan pengambilan maksimum tujuh pelajar tahun lepas dan atas permintaan daripada komuniti, kami memutuskan untuk menubuhkan satu lagi kelas tahun ini dengan kelulusan dan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement