Anda di sini

TTG Bahagian Miri dijangka siap awal 2023

Advertisement
Abdul Aziz (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tempat Transit Gelandangan Bahagian Miri di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Bahagian Miri pada Jumaat.
Abdul Aziz (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tempat Transit Gelandangan Bahagian Miri di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Bahagian Miri pada Jumaat.

MIRI: Tempat Transit Gelandangan (TTG) Bahagian Miri dijangka siap pada awal 2023, kata Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf.

Menurutnya, lokasi TTG terbabit adalah di belakang Pejabat Residen Bahagian Miri lama dan berada di tengah-tengah bandar raya Miri dengan kapasiti lebih 20 orang.

“Penubuhan TTG Bahagian Miri berkenaan telah dirancang sejak awal tahun ini.

“Setakat ini, kita masih menunggu status tanah untuk diluluskan oleh kerajaan negeri. Sekurang-kurangnya tiga bulan lagi masa untuk diambil bagi pembinaannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penyelarasan TTG Bahagian Miri di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Bahagian Miri hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Abdul Aziz terbabit turut bagi mengetahui perkembangan terkini daripada agensi-agensi berkaitan penubuhan TTG Bahagian Miri terbabit.

Menurutnya, TTG Bahagian Miri diberi keutamaan dan diharap pembinaan tersebut dapat disegerakan bagi menempatkan gelandangan yang telah direkodkan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Miri.

“Bahagian Miri mempunyai 24 gelandangan yang telah direkodkan.

“Diharapkan melalui mesyuarat dan maklum balas daripada setiap agensi berkaitan pada hari ini akan membantu mempercepatkan proses pembinaan TTG kelak,” tambahnya.

Hadir sama ialah Pemangku Ketua Seksyen Perancangan dan Pembangunan Sosial, Pejabat Residen Bahagian Miri Nora Shafia Muhiyuddin, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Lau Ngee Wei, wakil-wakil dari Majlis Pembangunan Sosial, Majlis Bandaraya Miri, Jabatan Kerja Raya Miri, Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Bahagian Miri, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, Syarikat Samling Timber Sdn Bhd dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
 

  • oleh
  • Advertisement