Anda di sini

Tiga maut, enam cedera ditikam di tadika di tenggara China

Advertisement

BEIJING: Tiga orang terbunuh sementara enam yang lain cedera dalam serangan tikam di sebuah tadika di wilayah Jiangxi tenggara China kelmarin, menurut pihak polis.

Seorang "gengster yang memakai topi dan topeng" menyerbu sebuah tadika swasta di daerah Anfu kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan, kata polis dalam satu kenyataan di Weibo.

Suspek berusia 48 tahun itu masih bebas, tambah mereka.

"Pihak keselamatan awam sedang berusaha sedaya upaya untuk memburu suspek," kata kenyataan polis itu.

Dalam video kejadian yang dikongsi oleh Beijing Daily, seorang pegawai polis dapat dilihat mengendong seorang kanak-kanak kecil ke ambulans. Umur mangsa tidak diketahui.

Jenayah ganas besar-besaran tidak selalu berlaku di China, yang melarang rakyatnya daripada memiliki senjata api, namun kebelakangan ini banyak serangan tikaman rawak berlaku.

Selain itu, serangan maut yang secara khususnya me-nyasarkan pelajar tadika dan sekolah telah berlaku di seluruh negara, dengan pelaku dilaporkan ingin membalas dendam ke atas masyarakat atau akibat rungutan dengan rakan sekerja.

Serangan itu telah memaksa pihak berkuasa untuk meningkatkan keselamatan dan mendorong lebih banyak penyelidikan mengenai punca tindakan ganas tersebut.

April lalu, dua kanak-kanak terbunuh dan 16 yang lain cedera apabila seorang lelaki bersenjatakan pisau memasuki sebuah tadika di selatan China.

Pada 2020, seorang penyerang bersenjatakan pisau mencederakan 37 pelajar dan dua orang dewasa di sebuah sekolah rendah di selatan China. Media tempatan mengenal pasti pelakunya sebagai seorang pengawal keselamatan.

Dan pada tahun itu juga, seorang lelaki dijatuhi hukuman mati kerana telah meracuni berpuluh-puluh kanak-kanak dalam tindakan balas dendam terhadap rakan sekerja, menyebabkan seorang kanak-kanak maut.

Sebuah mahkamah di wilayah Henan China berkata tertuduh, Wang Yun, telah meletakkan natrium nitrit ke dalam bubur yang disediakan untuk pelajar rakannya, memberi kesan terhadap 25 orang.

Dalam serangan baru-baru ini, empat orang cedera dalam kejadian tikaman di sebuah hospital besar Shanghai sebelum penyerang yang bersenjatakan pisau itu ditembak dan kemudiannya ditangkap oleh polis.

Pada Jun tahun lalu, enam orang juga terbunuh dan 14 cedera selepas seorang lelaki menikam pejalan kaki di laluan beli-belah pejalan kaki di bandar Anqing di timur China. - AFP

Advertisement