Anda di sini

Saya bayar RM19 juta untuk hentikan siasatan terhadap Lim

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Seorang saksi utama kes perbicaraan Lim Guang Eng (gambar) hari ini memberitahu Mahkamah Seksyen bahawa beliau membayar RM19 juta kepada orang tengah yang didakwa rapat dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi menghentikan siasatan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ahli Parlimen Bagan.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata beliau lakukannya disebabkan beliau tidak mahu ‘bersikap tidak mengenang budi’ kerana Lim yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang, telah memberikannya projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 billion.

Ketika pemeriksaan balas Gobind Singh Deo selaku peguam bela Lim, Zarul juga mengakui yang beliau sanggup melindungi Lim sehingga memberi rasuah kepada Najib, bagi menghentikan siasatan terhadap Lim atas projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang kontroversi.

Saksi pendawaan ke-23 itu berkata beliau membuat bayaran RM19 juta menerusi seorang ahli perniagaan dikenali sebagai G. Gnanaraja yang didakwa dekat dengan Najib, bagi menghentikan siasatan rasuah tersebut terhadap Lim, berkaitan projek tersebut.

Menjawab soalan seterusnya yang ditanya oleh peguam itu, Zarul bagaimanapun berkata beliau tidak pasti sama ada duit itu benar-benar sampai kepada Najib atau tidak.

Gobind: Najib adalah perdana menteri dan ketua Barisan Nasional (BN) pada 2017. BN merupakan parti pembangkang untuk kerajaan negeri Pulau Pinang.

Zarul: Ya.

Gobind: Jadi kamu pergi dan bayar ketua mereka (BN) untuk lindungi Lim?

Zarul: Ya.

Bagaimanapun Gobind mempertikaikan bahawa perkara itu adalah mustahil dan tidak masuk akal untuk Zarul membayar Najib demi melindungi Lim, kerana menurut peguam itu, jika beliau (Zarul) mahu melindungi Lim, saksi itu tidak akan membayar Najib, kerana Najib adalah musuh politiknya.

Zarul kemudiannya mengatakan bahawa ia adalah logik kepadanya, kerana pada masa itu beliau terdesak untuk memastikan Lim dilindungi dan kerajaan BN tidak akan buat apa-apa kepada Lim.

Gobind juga mencadangkan bahawa Zarul juga bersedia untuk berbohong dalam usaha menyelamatkan dirinya daripada diambil tindakan undang-undang ketika membuat kenyataan media pada 2018, yang beliau berkata tidak terdapat sebarang elemen rasuah dalam projek terowong bawah tanah itu, kerana ia dibuat secara sah.

Gobind: Bukti anda di mahkamah semalam bahawa anda telah berbohong pada sidang media, dalam usaha melindungi Lim adalah tidak benar.

Zarul: Anda perlu melihat kepada keseluruhan konteks. Saya telah diminta untuk membuat keseluruhan kenyataan.

Gobind: Jadi saya katakan, anda tentunya bersedia untuk berbohong untuk menyelamatkan diri.

Zarul: Saya tidak setuju.

Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. - BERNAMA

Advertisement