Anda di sini

Sabah peruntuk RM561.82 juta perkasa sara diri makanan

Advertisement
HAJIJI
HAJIJI

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM561.81 juta di bawah Belanjawan 2022 untuk memastikan produktiviti serta kualiti produk pertanian Sabah mampan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ia juga bagi memastikan Tahap Sara Diri (SSL) Sabah ditingkatkan setiap tahun melalui pelbagai inisiatif permodenan.

Beliau berkata, sektor pertanian yang meliputi tanaman, penternakan dan perikanan adalah satu daripada tiga sektor ekonomi utama dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) selama lima tahun bermula 2021.

"Dua lagi sektor ekonomi utama dalam Hala Tuju SMJ ialah industri pembuatan dan pelancongan, yang antara lain membina negeri dan masyarakat yang bersatu padu, aman dan makmur, mengoptimumkan sumber dan hasil negeri serta meningkatkan ekonomi rakyat," katanya ketika pada Pameran Ternakan, Akuakultur dan Pertanian (LAA Sabah) ke-12 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini hari ini.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi akan didorong oleh pemulihan permintaan pengguna luar jangkaan yang pesat, keyakinan pelabur yang lebih tinggi, dan seterusnya pemulihan yang lebih teguh dalam aktiviti ekonomi domestik.

Hajiji berkata, Sabah adalah antara pengeksport utama hasil ikan segar di Malaysia, menyumbang RM2.03 bilion atau kira-kira 15.7 peratus setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

"Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pemprosesan hiliran untuk hasil perikanan menjadi produk berkualiti tinggi. Dengan penurunan kuasa perikanan laut dalam oleh Persekutuan kepada Jabatan Perikanan Sabah, terdapat potensi besar untuk pelabur menceburi industri perikanan dalam dan hiliran berkaitan," katanya.

Hajiji berkata, prospek bagi sektor ternakan juga kekal cerah bagi sektor ternakan berikutan pengembangan dan penambahbaikan berkesan dalam pemboleh strategik utama yang dijangka akan meningkatkan sistem rantaian nilai keseluruhan industri.

"Menjelang 2030, populasi kerbau dan lembu masing-masing ialah 26,248 ekor dan 148,305 ekor. SSL bagi daging lembu diunjurkan meningkat sepanjang tempoh sehingga mencapai 21.3 peratus menjelang 2030," katanya.

"Industri pertanian adalah penyumbang penting kepada Ekonomi Malaysia dengan menyediakan pekerjaan luar bandar, meningkatkan pendapatan luar bandar, memastikan keselamatan makanan negara. Ia juga bertindak sebagai pemangkin dan tonggak utama kepada eksport negara.

“Ini juga masa yang sesuai untuk melihat bahawa Malaysia Timur sendiri merupakan pasaran pesat untuk pertanian, penternakan dan perikanan serta akuakultur,” katanya sambil menambah bahawa jumlah keseluruhan penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan adalah seramai 6 juta pada 2021

Katanya, sektor pertanian Sabah sahaja menyumbang sebanyak 15.9 peratus kepada KDNK negeri pada 2021, sumbangan ketiga tertinggi selepas sektor perkhidmatan sebanyak 47 peratus dan perlombongan dan kuari (26 peratus).

Mengenai LAA Sabah yang diadakan serentak dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, Hajiji percaya ia akan menjadi platform yang besar maknanya kepada peserta untuk membangunkan perkongsian perniagaan, membina rangkaian baharu dan mengikuti trend industri terkini.

"Dengan komitmen dan usaha kerajaan dalam mentransformasikan sektor ini ditambah  dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi, sektor pertanian masih menjanjikan sesuatu walaupun terdapat beberapa isu dan cabaran.

“Saya yakin sektor pertanian akan terus berjaya walaupun terdapat beberapa isu dan cabaran serta akan terus berkembang dengan komitmen dan usaha kerajaan dalam mentransformasikan sektor ini ditambah dengan perkembangan pesat teknologi maklumat serta komunikasi,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement