Anda di sini

Lebih 6,000 kes seluruh negara, AS isytihar cacar monyet darurat kesihatan awam

Advertisement
 

HOUSTON: Kes cacar monyet yang disahkan di Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada lebih 6,600 kes pada Khamis, menyebabkan pentadbiran Presiden Joe Biden mengambil tindakan dan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya. 

"Saya akan mengisytiharkan darurat kesihatan awam mengenai cacar monyet. Kami akan melakukan apa yang kami fikirkan perlu," kata Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) Xavier Becerra dalam satu sidang akhbar menerusi telefon.

Becerra berkata AS mampu membuat saringan sejumlah 80,000 orang seminggu untuk cacar monyet dan doktor serta petugas kesihatan digalakkan melakukan ujian saringan, lapor Agensi Anadolu.

"Virus ini merebak dengan pantas. (Cacar monyet) merebak lebih cepat daripada wabak sebelum ini,” kata penyelaras untuk respons cacar monyet kebangsaan, Robert Fenton.

Wabak itu diisytiharkan sebagai darurat pada Isnin di New York kerana negeri itu menyumbang hampir 25 peratus daripada semua kes AS. California dan Illinois juga mengeluarkan pengisytiharan darurat pada hari yang sama berikutan peningkatan jangkitan yang ketara di negeri tersebut.

Tetapi deklarasi persekutuan akan membuka jalan bagi membolehkan semua negeri memperoleh akses kepada dana kecemasan untuk memerangi dan membendung wabak itu.

Ia juga membolehkan kerajaan persekutuan mengumpul data di seluruh negara mengenai kes dan vaksinasi, mempercepat pengedaran vaksin dan memudahkan doktor untuk memberikan rawatan. 

HHS berkata ia telah mengedarkan 14,000 rawatan TPOXX untuk virus itu dengan 1.7 juta dos TPOXX lagi dalam simpanan persekutuan, jika perlu.

Di samping itu, HHS telah memperoleh lebih 1.1 juta dos vaksin cacar monyet Jynneos dengan 602,000 vaksin telah pun dihantar.

Sejumlah 5.5 juta dos telah dipesan untuk 2023 dan 11.1 juta dos lagi ada dalam simpanan sebagai persediaan jika wabak itu terus merebak dengan meluas. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global pada 23 Julai, yang merupakan sebutan tertinggi untuk wabak paling serius seperti pandemik global COVID-19.

Lebih 26,000 kes cacar monyet yang disahkan di seluruh dunia telah dilaporkan pada 2022 oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

CDC berkata cacar monyet disebarkan terutamanya melalui hubungan seksual lelaki sesama jenis tetapi virus itu juga boleh disebarkan melalui sentuhan kulit ke kulit, serta melalui perkongsian pakaian, peralatan tempat tidur dan tuala.

Umur median pesakit ialah 35, dengan julat umur antara 17 hingga 76 tahun, tetapi lima kes baru-baru ini dilaporkan melibatkan kanak-kanak di California, Indiana, dan Washington, DC.

Gejala yang paling biasa termasuk ruam, yang dilaporkan dalam 99 peratus kes di AS, demam, lepuh pada kulit dan pembengkakan nodus limfa. Gejala lain termasuk menggigil, sakit kepala, dan sakit otot. - BERNAMA
 

Advertisement