Anda di sini

Kerajaan negeri serah kepada mahkamah putuskan kedudukan empat ADUN

Advertisement
 

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pada 2020 perlu mengosongkan kerusi mereka, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) memutuskan untuk mengarahkan peguam cara negeri menulis surat kepada Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang untuk tarikh awal berhubung ketiga-tiga saman pemula (OS) yang difailkan oleh ADUN Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bertam dan Telok Bahang.

Chow berkata prosiding di Mahkamah Tinggi sebelum ini ditangguhkan sementara menunggu penentuan persoalan undang-undang oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata pihak berkenaan kini perlu ke Mahkamah Tinggi untuk menentukan sama ada ketiga-tiga OS itu perlu diteruskan atau tidak mengikut keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan.

"Sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi hendaklah menjadi sebahagian daripada proses mengisytiharkan kerusi yang terjejas itu kosong, mengikut mana-mana yang berkenaan dan berpandukan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah berperlembagaan dan hendaklah kekal.

“Oleh itu, tidak akan ada sebarang persidangan untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Chow berkata kerajaan negeri Pulau Pinang tetap tegas dalam menegakkan mandat pengundi, dan wakil rakyat mesti bertanggungjawab terhadap tindakan yang bertentangan dengan mandat yang diberikan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

DUN Pulau Pinang dan Speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.

Pada Rabu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawaa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. - BERNAMA

Advertisement