Anda di sini

Kerajaan lulus vaksin COVID-19 Spikevax untuk individu 12 tahun ke atas

Advertisement
KUALA LUMPUR: Vaksin COVID-19 Spikevax keluaran Rovi Pharma Industrial Services di Sepanyol diberikan kelulusan bersyarat untuk kegunaan individu berusia 12 tahun ke atas,  kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata persetujuan itu dibuat dalam pada Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-375 yang bersidang pada Khamis.

Dr Noor Hisham, dalam kenyataan berkata Spikevax sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun ke atas.

Beliau berkata sehingga kini, PBKD memberi kelulusan kepada vaksin Comirnaty (keluaran Pfizer-BioNTech) dan CoronoVac (keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd, China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd, Malaysia) untuk digunakan dalam kalangan individu berumur 12 tahun ke atas. 

Dr Noor Hisham berkata pihaknya melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan terus memantau maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin itu bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk tersebut kekal positif.

“Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat-ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan COVID-19 dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan,” katanya. - BERNAMA

Advertisement