Anda di sini

Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas, perahu dinaiki empat sekeluarga karam

Advertisement

KAPIT: Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaiki empat sekeluarga karam ketika menyeberang Batang Rajang berhampiran Waf Batu di sini, pagi tadi. 

Mangsa dikenali sebagai Jenggut Antas berusia 10 tahun.

Ketua Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Timoty Barat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.45 pagi.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari BBP Kapit bergerak ke lokasi dan mendapatkan maklumat sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anak panah menunjukkan lokasi kejadian. Gambar kecil menunjukkan Jenggut yang dikhuatiri lemas selepas tragedi perahu karam berhampiran Waf Batu Kapit pada Jumaat.
Anak panah menunjukkan lokasi kejadian. Gambar kecil menunjukkan Jenggut yang dikhuatiri lemas selepas tragedi perahu karam berhampiran Waf Batu Kapit pada Jumaat.

Menurutnya,  kejadian berlaku semasa empat sekeluarga terdiri daripada bapa mangsa yang juga pengadu dan isterinya bersama dua anak mereka sedang menaiki perahu untuk menyeberang sungai menuju ke bandar Kapit.

"Semasa dalam perjalanan, enjin sangkut perahu mereka dipercayai mengalami masalah dan gagal dihidupkan menyebabkan perahu mereka hanyut sebelum terlanggar kapal tongkang yang berlabuh di kawasan itu, lalu karam," katanya.

Katanya lagi, pengadu dan isteri serta seorang anak mereka berjaya berenang ke tebing sungai, tetapi Jenggut gagal ditemui. 

Sehingga berita ini ditulis, operasi SAR mangsa yang hilang masih dijalankan.

Advertisement