Anda di sini

JAKM bawa inovasi, peluang kerjaya untuk rakyat Sarawak 

Advertisement
James (kanan) dan Muhammad Hazim (kiri) bersama produk inovasi Agensi Nuklear Malaysia, benih padi IS21 dan Tiang Sokongan Biokomposit Lada Hitam.
James (kanan) dan Muhammad Hazim (kiri) bersama produk inovasi Agensi Nuklear Malaysia, benih padi IS21 dan Tiang Sokongan Biokomposit Lada Hitam.

KUCHING: Pempamer pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) 2022 di Dataran Perayaan di Petra Jaya di sini membawa inovasi, teknologi dan produk serta peluang kerjaya untuk dimanfaatkan oleh rakyat di Sarawak.

Jurutera Awam Penguasa Jabatan Kerja Raya Malaysia Suhaila Subodh ketika ditemui oleh Utusan Borneo hari ini berkata, pihaknya telah menerima lebih daripada 500 pengunjung sejak dibuka jam 9 pagi.

"Untuk Pameran Inovasi dan Teknologi Sektor Pembinaan kita telah membuka tapak pameran sejak jam 9 pagi hingga jam 1 petang dan dianggarkan sekitar 500 pengunjung telah masuk ke tapak pameran.

"Ini kita ambil jumlah pengunjung yang telah mengimbas kod QR yang juga layak untuk menyertai cabutan bertuah," katanya.

Lebih menarik katanya, pihaknya juga disertai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk pertunjukan mini planetarium sebagai perkongsian maklumat berkaitan planet dalam sistem alam semesta.

Pada masa yang sama katanya, pihaknya juga menonjolkan inovasi dalam sektor pembinaan bertujuan untuk mempercepatkan tempoh pembinaan, memperkukuhkan kualiti dan penjimatan kos penyelenggaraan.

Disebabkan ia merupakan acara yang julung kali diadakan, beliau berkata pihaknya berhasrat untuk menyertai program JAKM akan datang sekiranya mendapat sambutan.

Sementara itu, tinjauan ke ruangan Agensi Nuklear Malaysia membawa kepada penemuan benih padi baharu IS21 dan Tiang Sokongan Biokomposit yang bersesuaian dengan sistem perladangan lada hitam yang banyak diusahakan di Sarawak.

Penolong Pegawai Pertanian Agensi Nuklear Malaysia James Mackester berkata, baka benih IS21 itu adalah rintang penyakit dan berupaya memberi hasil mencecah sembilan tan sehektar.

Benih baharu padi IS21 terbabit telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 5 Ogos 2021 di ibu negara, ujarnya.

"Padi ini sesuai ditanam di siri tanah yang berbeza dan sangat respons kepada baja hidrogen.

"Di Semenanjung Malaysia, ramai pesawah yang telah menanam padi ini, tidak ada penyakit, pengurusan output petani juga kurang selain kurang penggunaan racun," ujarnya.

Selain itu benih padi berkenaan tahan banjir dan kemarau, tambahnya.

“Kawasan Kelantan biasanya mengalami banjir, kami pernah jalankan di tapak eksperimen dan masa itu berlaku banjir, tapi selepas banjir surut padi masih lagi tumbuh dan memberi hasil yang sangat baik,” katanya lagi.

Sebelum ini katanya, pihaknya menjalankan Ujian Multilokasi (MLT) IS21 bermula pada tahun 2016-2017 di pelbagai lokasi jelapang padi di Semenanjung Malaysia, manakala Ujian Penetusahan Tempatan (LVT) juga telah dijalankan pada 2018-2020.

Padi tersebut telah ditanam di jelapang padi utama seluruh Semenanjung Malaysia seperti di Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, Kerian, Seberang Perak dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Sementara itu, rakan beliau, Pegawai Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia Muhammad Hazim Muhammad Sayudi memperkenalkan Tiang Sokongan Biokomposit yang diperbuat daripada campuran plastik polimer dengan serat semula jadi.

Sebelum ini, penanam lada menggunakan kayu belian yang mana merupakan spesies terancam, justeru tiang terbabit boleh dijadikan alternatif dan dijual pada harga RM50 sebatang.

"Sebagai sebuah agensi kerajaan, kita belum ada membuat pengkomersialan tetapi kita berikan sebagai program tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement