Anda di sini

Hanya 31 kes AEFI penerima vaksin COVID-19 kanak-kanak setakat ini

Advertisement
 

TAIPING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya menerima 31 laporan kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini yang diklasifikasikan sebagai serius, setakat ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata jumlah itu merupakan 1.76 juta atau 49.8 peratus kanak-kanak yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 sehingga  2 Ogos lepas.

"Mereka (kanak-kanak) yang terkesan AEFI ini telah diberikan rawatan yang sewajarnya di hospital dan telah pulang ke rumah. Kebanyakan mereka yang terkesan AEFI ini mengalami gejala seperti demam serta sedikit kesakitan dan bengkak di tempat suntikan....itu perkara biasa," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Sirajuddin Hashim di pusat beli-belah Aeon Mall Taiping di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Azmi berkata bayi  yang menjalani proses penyusuan ibu sekurang-kurangnya enam bulan mampu menghindari penyakit yang serius antaranya penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Beliau berkata ini kerana susu ibu adalah makanan mempunyai cukup zat dan nutrien, selamat serta bersih berbanding susu formula.

"Susu ibu mampu memberi daya tahan atau antibodi yang lebih tinggi kepada bayi dan kanak-kanak. Badan mereka lebih mempunyai daya tahan yang tinggi dan imun sistem yang lebih baik untuk menghalang penyakit atau pun kalau terkena penyakit pun, tidaklah begitu teruk," katanya.

Terdahulu, Dr Azmi dalam ucapannya berkata KKM telah meletakkan inisiatif penyusuan susu ibu dalam kerangka Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) antaranya Inisiatif Hospital Rakan Bayi, Klinik Rakan Bayi dan Penubuhan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu.

"Pihak KKM juga memudahcara penubuhan  Kumpulan Sokongan Penyusuan susu ibu di setiap fasiliti kesihatan dan menjalankan latihan kepada anggota kumpulan sokongan ini," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement