Anda di sini

Diana mahu popularkan Batik Linut di Dubai, Milan

Advertisement
Diana menunjukkan kain sutera Batik Linut yang dihasilkannya di ruang pempamer Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) 2022 di Dataran Perayaan hari ini.
Diana menunjukkan kain sutera Batik Linut yang dihasilkannya di ruang pempamer Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) 2022 di Dataran Perayaan hari ini.

KUCHING: Usahawan wanita Sarawak, Diana Rose, 57, berhasrat untuk mempopularkan Batik Linut dalam segmen fesyen untuk pasaran ke Dubai dan gaya hidup di Milan, Itali dalam tempoh kurang lima tahun lagi.

Demikian katanya ketika ditemui Utusan Borneo hari ini sambil menambah beliau berhasrat untuk menjadi lebih stabil dalam kedua-dua jenis perusahaan berkenaan dan pada masa sama, mempromosikan pelancongan ke Sarawak.

"Kami sedang menjalankannya sekarang, justeru berasakan diri sebagai sebuah platform yang membawa produk Sarawak ke luar negara dengan sokongan daripada komuniti dan kerajaan serta rangkaian global yang telah kita bina.

"Juga dengan harapan agar ia bukan sekadar untuk membawa produk Sarawak ke luar negara tetapi juga untuk kegunaan pasaran dalam negeri," katanya kepada pemberita di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) 2022 di Dataran Perayaan di sini.

Diana berkata, beliau telah ke Dubai pada Mei lalu dan sedang melihat kemungkinan untuk mempunyai seleksi fesyen bagi meneroka pasaran di sana.

“Kita sedang menetapkan sasaran untuk menyertai satu pameran di Milan, Itali dan berharap untuk melakukan yang terbaik,” ujarnya lagi.

Batik Linut atau Tekstil Linut jelas Diana, bermula apabila pihak Kraftangan Malaysia menemui beliau dan memaklumkan hasrat mereka untuk menubuhkan sebuah komuniti batik yang baharu.

"Mereka meminta saya untuk membuat inovasi baharu menggunakan tepung ubi kayu.

"Tetapi saya memberitahu mereka daripada bereksprimen dengan ubi kayu lebih baik saya mencuba sesuatu yang dekat dengan identiti bangsa dan mencadangkan sagu," tegasnya.

Pada mulanya katanya, beliau telah menemui kegagalan bagi dua kali eksperimen yang dijalankan sekitar Februari 2019.

Semuanya gagal ujar beliau, kerana tepung sagu hanya boleh digunakan pada tekstil kapas (poplin, sejenis kain kapas yang keras dan berkilat).

“Kita mencuba juga dengan jenis kain yang lain, juga tidak menjadi, tetapi enggan berputus asa dan terus untuk bereksperimen dan mengambil masa dua tahun untuk melakukannya.

“Penghujung 2021, kita berjaya melakukannya dengan kain kapas poplin, viscose, sutera dan chifon.

"Dari situ saya melihat sinar harapan untuk mengkomersialkannya dan 24 November 2021 Batik Linut Lamin Dana telah dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Miri.

“Sekarang kami sedang membuat ujian pasaran," katanya.

Dengan empat pereka dan seorang pereka ‘in-house,’ Diana berkata pihaknya berupaya menghasilkan tekstil dalam seminggu pada purata 125 meter kain yang boleh menghasilkan antara lima dan enam helai produk lengkap.

"Pelitup muka kami jual pada harga RM15 dan paling mahal adalah kain sutera yang boleh mencecah RM180 semeter," tambahnya.

Pihaknya turut mendedahkan perancangan untuk mempunyai pejabat dan galeri di Kuching mulai tahun hadapan.

Ibu pejabatnya berpusat di Bungalow B, Coco Cobana, Miri tetapi pengeluaran tekstil dijalankan di Lamin Dana, Mukah.

Batik Linut boleh didapati di Galeri Batik Linut, Coco Cobana Miri, Lamin Dana Craft and Gallery di Lamin Dana Lodge, Mukah, Sarawak Craft Council Galllery (Steamship Building) Tebingan Kuching, Gem Box Cultural Market, Nilai Negeri Sembilan dan Karyaneka Gallery, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
 

  • oleh
  • Advertisement