Anda di sini

Nilai ringgit dibuka agak tinggi berbanding dolar AS

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini selepas nilai dolar AS menjadi lemah berikutan peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada 9.04 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.4535/4555 berbanding dolar AS daripada penutupan hari Rabu pada paras 4.4550/4565.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke Taiwan telah meningkatkan ketegangan AS-Sino dan ini telah mencetuskan kemerosotan ke atas dolar AS.

“Nilai dolar diniagakan lebih tinggi pada awal sesi dagangan tetapi ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara mencetuskan kemerosotan dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga menyatakan pelabur tetap bimbang terutama menjelang pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS pada keesokan hari.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.3325/3342 daripada penutupan Rabu pada paras 3.3459/3472, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4137/4161 daripada 5.4244/4262 dan kukuh berbanding euro kepada 4.5261/5281 daripada 4.5396/5412 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2274/2293 daripada 3.2262/2277 pada hari Rabu. - BERNAMA
 

Advertisement