Anda di sini

Mayat lelaki warga emas ditemukan di tepi pantai

Advertisement
 Mayat lelaki warga emas yang ditemukan dalam keadaan tertiarap terdampar di tepi pantai.
MAUT: Mayat lelaki warga emas yang ditemukan dalam keadaan tertiarap terdampar di tepi pantai.

LAHAD DATU: Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan terdampar dan tertiarap di tepi pantai belakang Pasar Rakyat, di sini semalam.

Jasad lelaki berumur 62 tahun itu ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 2 petang, sebelum laporan dibuat melalui panggilan kecemasan MERS999.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Assisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu pada jam 2.20 petang.

Katanya, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas mayat yang ditemukan itu.

“Sebaik tiba, pasukan polis mendapati seorang lelaki terdampar di atas batu di tepi pantai berhampiran belakang pasar dalam keadaan tidak bernyawa.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, polis menemukan beberapa dokumen pengenalan diri mangsa,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada perlakuan unsur-unsur jenayah ditemui di tempat kejadian dan pada tubuh badan mangsa.

“Mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh di kawasan berbatu yang licin di belakang pasar berkenaan sebelum lemas.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk pemeriksaan lanjut dan bedah siasat,” katanya.

Rohan berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

  • oleh
  • Advertisement