Anda di sini

Lelaki didenda RM3,000 kerana miliki dadah

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau empat bulan penjara di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 0.06 gram Methamphetamine. 

Tertuduh, Khairummuzammil Azwan A. Rahim, 47, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi sebaik dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 8 Jun lalu, sekitar jam 9.50 pagi di dalam sebuah bilik rumah kedai di Everbright Estate, Jalan Batu Kawa di sini.

Fakta kes mendedahkan tertuduh ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padawan pada hari kejadian susulan dia disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. 

Pihak polis yang membuat pemeriksaan seterusnya menemui satu peket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.35 gram di atas lantai bilik tersebut.

Semasa dalam tempoh siasatan, barang kes dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian makmal.

Laporan kimia diperolehi pada 15 Julai lalu yang mengesahkan barang kes mengandungi berat bersih dadah 0.06 gram Methamphetamine. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dilaporkan membayar denda terbabit. 

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,700 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar selepas mengaku bersalah memasukkan Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badan. 

Majistret Zubaidah juga memerintahkan tertuduh, Mohammad Nazri Rajunai, 23, untuk menjalani dua tahun pengawasan polis. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 21 Jun lalu, sekitar jam 2.20 petang di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) Akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM5,000 atau dua tahun penjara dan diletakkan di bawah pengawasan polis untuk tempoh tidak kurang daripada dua dan tidak lebih daripada tiga tahun.

Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan sama ada Nazri membayar denda tersebut. 

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin. 

Advertisement