Anda di sini

Jambatan gantung belum dibaik pulih, murid gadai nyawa naik perahu ke sekolah 

Advertisement
 Murid dari Kampung Mangkabusu yang dirakam menaiki perahu menyeberangi sungai untuk ke sekolah.
NAIK PERAHU: Murid dari Kampung Mangkabusu yang dirakam bersedia untuk menaiki perahu menyeberangi sungai demi ke sekolah.

KOTA KINABALU: Video sekumpulan murid sekolah rendah menaiki perahu kecil menyeberangi Sungai Bengkoka di Pitas yang tular di media sosial sejak Rabu lepas mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Kebanyakan netizen menyatakan kebimbangan dengan tahap keselamatan selepas melihat keadaan murid-murid berkenaan yang terpaksa menggadai nyawa menaiki perahu kecil demi ke sekolah.

Video yang dimuat naik menerusi Facebook Berita Ehwal Semasa & Politik Terkini itu mendapat tontonan lebih 10,000 kali itu dipercayai diambil di Kampung Mangkabusu Pitas sekitar minggu ini.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mangkabusu Maratim Majungkat ketika dihubungi The Borneo Post berkata, beliau antara yang menghantar murid menggunakan perahu bersama ibu bapa yang lain secara bergilir-gilir.

Katanya, tindakan berkenaan demi memastikan anak-anak mereka tidak terlepas peperiksaan di sekolah.

"Sayalah orang yang dirakamkan dalam video sedang membawa murid-murid dalam perahu itu. Kami mengambil giliran menghantar seramai 26 murid ke Sekolah Kebangsaan (SK) Mandurian Pitas dengan menyeberangi sungai pada waktu pagi dan petang setiap hari.

"Keadaan seperti ini sudah berlarutan sejak jambatan gantung di kampung kami rosak sepenuhnya pada 12 Disember tahun lepas akibat banjir.

"Terdapat dua perahu di kampung ini dan setiap perahu hanya boleh memuatkan kira-kira empat murid dan seorang dewasa untuk satu perjalanan," jelasnya.

Beliau berkata, jika musim hujan, anak-anak di kampung itu tidak dapat hadir ke sekolah berikutan paras air Sungai Bengkoka yang cepat naik.

Selain itu katanya, tahun ini turut berlaku kejadian seorang murid berumur 12 tahun lemas di sungai terbabit dan mayatnya hanya ditemukan selepas tujuh hari.

"Baru-baru ini, keadaan cuaca tidak berapa baik, tetapi kami terpaksa membawa anak-anak menaiki perahu untuk ke sekolah kerana sekarang ini minggu peperiksaan.

"Kebanyakan penduduk kampung hanya bertani dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Justeru, hanya dengan pendidikan sahaja yang boleh mengubah taraf kehidupan anak-anak nanti.

"Di sekolah ada asrama disediakan yang siap dibina sejak tiga tahun lepas, tetapi kami dimaklumkan keadaannya tidak selamat. Itulah sebabnya keadaan seperti ini berlaku," jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, penduduk di kampung berkenaan masih hidup dalam keadaan miskin tanpa bekalan elektrik dan jalan raya berturap.

Menurutnya, penduduk di kampung berhampiran seperti Kampung Nibang dan Kampung Bambangan sudah menikmati kemudahan elektrik dan jalan raya sejak beberapa tahun lepas lagi.

Sehubungan itu, beliau amat berharap agar kemudahan asas dapat disediakan untuk penduduk di kampung itu terutama keperluan mendesak seperti jambatan gantung, bekalan elektrik dan jalan raya berturap.

Selain Kampung Mangkabusu, murid SK Dandun iaitu kampung berdekatan turut berdepan dengan kekangan yang sama selepas jambatan gantung di Kampung Dandun musnah sejak Februari tahun ini.

Keadaan itu memaksa murid-murid dari Kampung Bilangau Besar, Kampung Sapatalang dan Kampung Salungkapit menyeberangi sungai terpanjang di Pitas menggunakan perahu untuk ke sekolah.

Ketua Kampung Bilangau Besar Eddword Upak berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan khas untuk membina semula jambatan gantung di kampung berkenaan secepat mungkin.

"Sungai Bengkoka amat bahaya dan ada beberapa kali paras air naik tanpa amaran sebab kita tidak boleh menjangkakan keadaan cuaca di kawasan hulu.

"Selain itu, kelibat buaya yang muncul di kawasan sungai ini juga sudah menjadi kebiasaan dan ia tidak selamat untuk semua penduduk terutama yang menyeberangi sungai ini," katanya.

Kampung Dandun terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka manakala Kampung Mangkabusu DUN Pitas.
 

Advertisement