Anda di sini

Datuk Ir Haji Amrullah Kamal bercerita 7 langkah peningkatan majestik

Advertisement
 

ANDA juga Boleh Cemerlang melalui 7 Langkah Peningkatan Majestik adalah buku yang dihasilkan oleh Datuk Ir Haji Amrullah Kamal  yang ditulis bersama Dr Victor SL Tan yang bercerita mengenai pengalamannya berkhidmat lebih 35 tahun dalam sektor awam.

Buku yang menerima banyak pujian itu  adalah buku yang sangat menarik dan istimewa. Ia menceritakan mengenai caranya menggunakan 7 langkah Peningkatan Majestik untuk mengatasi tantangan dan cabaran untuk mencapai kejayaan dalam kerjayanya, baik ketika bertugas di JKR Sabah sebagai Jurutera Eksekutif hingga Pengarah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebagai Ketua Pengarah dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sebagai Presiden.

Datuk Ir Haji Amrullah Kamal dilahirkan pada 2 Oktober 1960 di Tawau. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St Patrick Tawau dari Tahun 1967 hingga 1972 sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Maktab Sabah Kota Kinabalu dari tahun 1973 hingga 1977.

Selepas itu, beliau mengambil keputusan berani untuk terbang melanjutkan pelajaran ke England meskipun tanpa sebarang biasiswa sehingga lulus  A-Level kemudian berkat kegigihan dan ketabahannya, beliau berjaya memasuki Queen Mary College, University of London sehingga memperolehi Bsc (kepujian) dalam Kejuruteraan Awam pada tahun 1983. Beliau juga berjaya  memperolehi  ijazah MBA dari University Edith Cowan, Perth Australia pada 1998.

Selepas kembali ke tanah air dari United Kingdom, Ir Amrullah mula bekerja sebagai Jurutera Eksekutif di Pejabat Kota Kinabalu, ketika itu dipanggil  Jurutera Bahagian Jesselton (DEJ).

Beliau mencipta banyak kejayaan cemerlang sepanjang berkhidmat di JKR Sabah. Antara yang wajar disebut ialah berjaya mendapat bajet untuk pembinaan 900 km jalan luar bandar di Sabah. Beliau juga memulakan melaksanakan Jalan Pan Borneo sepanjang 706 km dari gerabak fasa 1.

Semasa berkhidmat di JKR, beliau juga memberikan perhatian kepada pemulihan, pembinaan semula dan penyelenggaraan sekolah-sekolah luar bandar yang usang. Selain itu, beliau melaksanakan program CSR untuk menubuhkan badan kebajikan JKR Tawau.

Beliau juga terlibat dalam menyiapkan jalan Merotai-Kalabakan pada tahun 2000 dan juga penyiapan dua lebuh raya Jalan Apas sejauh 22 km  pada tahun 1999.

Selepas menerajui JKR Sabah sebagai Pengarah, beliau sempat bertugas sebagai Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Semasa menjadi Presiden MPT, beliau memperkenalkan anugerah penilaian penarafan 5 bintang, menganjurkan FIT Malaysia dengan lebih 20,000 peserta, melaksanakan Pasar Ahad Sabindo dan Pasar Malam Jalan Chester.

Ir Amrullah juga membentangkan kertas kerja mengenai Perniagaan Pengurusan Bagang di Tawau dalam Persidangan Akademik Datu Bandar Asia Pasific di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu. Selain itu, beliau juga mengambil bahagian dalam Forum Kelima Datuk Bandar Asean: Memacu Tindakan Tempatan untuk Pertumbuhan Mampan & Inklusif (United Nations Social Economic Commission) di Bangkok Thailand.

Amrullah (kiri) bersama penulis
Amrullah (kiri) bersama penulis

Penulis Tamu Utusan Borneo, Abd Naddin Hj Shaiddin menemui Datuk Haji Ir Amrullah Kamal di Twentea, Blok A, Kompleks Damai Plaza Luyang untuk mengetahui sedikit pengalaman masa kecilnya, masa persekolahannya sehingga pahit manis perjuangan belajar di luar negara dan pengalaman 35 tahun berkhidmat dalam sektor awam bermula sebagai jurutera Eksekutif hingga ke tahap tertinggi dalam organisasi tempatnya bekerja. Ikuti petikan wawancara dalam pertemuan Secangkir Kopi di Luyang, sebahagiannya dipetik dari buku yang ditulisnya.

ANS:  Terima kasih banyak Datuk kerana sudi meluangkan masa  diwawancara untuk Kolum Secangkir Kopi. Boleh ceritakan sedikit latar belakang datuk?

AK: Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana. Saya anak ketujuh daripada tujuh adik beradik.  Ayah saya, Ustaz Kamal Ismail dan ibu saya, Ustazah Hajah Siti Badriah Haji Sakki, kedua-duanya guru agama. Mereka sudah tiada tetapi tetap kekal di hati saya. Mereka membesarkan kami dengan kasih sayang, bimbingan rohani dan sokongan yang tidak putus-putus.

ANS: Dimana Datuk mendapat pendidikan awal? Mungkin ada kenangan menarik sewaktu sekolah rendah?

AK: Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St Patrick Tawau dari tahun 1967 hingga 1972. Saya teringat zaman sekolah rendah saya dengan baik kerana disinilah saya mula belajar, membaca dan menulis.

Saya masih ingat Cik Mary Vun Su Syn, orang pertama yang mengajar saya cara membaca dan menulis ketika Darjah Satu. Cikgu Vun, seorang cikgu yang peramah dan saya rasa selesa meminta pertolongan setiap kali menghadapi kesusahan. Beliau seorang yang baik hati dan penyayang serta sentiasa memberi keyakinan kepada saya. Malah sehingga hari ini, gambarnya masih dalam telefon bimbit saya. Sesungguhnya kebaikannya masih ada dalam fikiran saya, sayangnya beliau sudah meninggal dunia.

Seorang lagi guru yang menjadi kegemaran saya ialah guru Matematik, Puan George , seorang wanita yang garang dan jarang senyum. Sikap tegasnya cukup ketara dengan rotannya yang dibawa ke mana sahaja dia pergi.

Beliau mengajar saya dari darjah satu hingga enam dan kemudian apabila keluarga saya berpindah dari Tawau ke Kota Kinabalu, saya sambung belajar di Maktab Sabah dan ,Puan George yang kebetulan ditukarkan ke sekolah itu terus mengajar saya matematik. Saya amat berterima kasih kerana beliau mendisiplinkan saya untuk mempelajari subjek matematik yang saya geruni.

Selain itu, seorang lagi yang terkenal ialah Ustazah Aminah Haji Hussein guru saya di Sekolah Islamiyah Tawau. Beliau sering bawa rotan tetapi tidak membawa mudarat. Beliau membawa rotan untuk menunjukkan betapa seriusnya dia mengkehendaki pelajarnya membaca Al-Quran dengan baik.

Datuk Hj Amrullah
Datuk Hj Amrullah

ANS: Boleh ceritakan sedikit pengalaman ketika sekolah menengah? Mungkin ada boleh dikongsikan?

AK: Saya melanjutkan pendidikan menengah di Maktab Sabah dari tahun 1973 hingga 1977. Dari tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, saya ambil ringan pelajaran di sekolah.Saya banyak bermain bola sepak dengan rakan-rakan sehingga mereka namakan saya Mueller, sempena nama Gerd Mueller, pemain Jerman Barat yang bermain Piala Dunia tahun 1974.

Saya juga berkecimpung dakam  aktiviti pengakap, dan seni pertahanan diri seperti silat dan taekwondo. Namun begitu, dalam tingkatan 3 saya mendapat keputusan yang baik dalam sains dan matematik, seterusnya memberi dorongan kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Saya masuk aliran sains di Tingkatan 4. Ketika itu, hanya lima orang pelajar berbangsa Melayu dalam kelas sains, selebihnya pelajar Cina dan India.

Terdapat 45 pelajar aliran Sains ketika itu, saya mahu bersaing dengan mereka kerana mereka sering mencatat keputusan terbaik. Saya menganggap ini satu cabaran.Saya berfikir jika mereka boleh berjaya, saya juga boleh. Tetapi saya tahu, saya perlu berubah 180 darjah. Perlu bekerja lebih keras kerana aliran sains mempunyai subjek yang sukar seperti Fizik, Kimia, Biologi, Matematik dan Matematik tambahan.

ANS: Selepas tingkatan lima, dimana datuk melanjutkan pengajian?

AK:  Saya melanjutkan pelajaran dalam Tingkatan Enam Rendah di Maktab Sabah tetapi saya mula berfikir bagaimana saya boleh pergi belajar di London. Bersama abang saya, saya mula meninjau pelbagai cara yang membolehkan saya ke London kerana rakan-rakan saya akan pergi dalam masa tiga bulan.

Saya dan abang saya Hannan hadir ke Bahagian Latihan Jabatan Ketua Menteri, di sebelahnya ada unit untuk permohonan biasiswa. Bagaimanapun, apabila kami sampai di sana, seorang pegawai berbangsa Melayu bertanya kepada saya, mengapa ingin memohon untuk belajar di London. Saya beritahu, saya mahu belajar A-Levels.

Ketika saya beritahu saya mahu belajar  subjek fizik peringkat lanjutan, matematik tulin dan matematik tambahan, dia beritahu ini subjek yang sukar dan secara sinis menyatakan bahawa dalam apa jua keadaan, London bukanlah tempat yang sesuai untuk belajar dan hanya tempat membazir wang. Tapi pegawai beri kelulusan biasiswa untuk belajar di semenanjung  sahaja.

Pada masa itu, saya sudah menerima tawaran bersyarat dari Central London College tetapi kriteria yang diperlukan ialah saya mesti mempunyai biasiswa. Walaupun pegawai tidak meluluskan basiswa saya, saya berazam untuk belajar di London dan saya anggap tiada yang boleh menghalang cita-cita saya.

Akhirnya saya menguatkan semangat diri dan memberitahu ayah saya bahawa saya ingin belajar di London. Saya beranikan diri kerana ketika itu tiada seorang pun dalam keluarga saya pernah belajar di luar negara.

ANS:  Ayah datuk benarkan datuk ke luar negara?

AK: Ayah saya bertanya dan menguji saya sama ada saya ada komitmen untuk belajar di London. Ayah saya mempunyai pandangan jauh dan merasakan saya mempunyai keazaman untuk berjaya. Dalam masa tiga bulan, dia berjaya mencari jalan membenarkan saya ke London.

ANS: Boleh ceritakan sedikit pengalaman menuntut di luar negara? Tanpa biasiswa?

AK:  Saya bermula di London pada September 1978 dan tinggal bersendirian di Islington. Sepanjang dua tahun, saya bekerja di restoran Mc Donald’s, Kentucky Fried Chicken dan kedai kasut untuk mendapatkan sedikit wang saku bagi menampung kehidupan. Pengalaman dalam Pengakap mengajar saya untuk bertahan dengan sumber wang yang sedikit. Selama dua tahun, saya bertahan pada tahap minimum dalam perbelanjaan saya.

Saya juga sangat terhutang budi kepada Datuk Abdul Ghapur Salleh, seorang pemimpin yang budiman, kerana banyak membantu saya. Begitu juga Datuk Syed Abas Ali, bekas speaker Dewan Undangan Negeri dan ADUN Balung. Beberapa kali, mereka  memberikan saya sampul surat berisi matawang beberapa ratus paun British dan membawa pakej  serunding dan kuih bahulu yang dititipkan oleh ibu saya dari Malaysia setiap kali mereka bertemu saya di London.

Setiap bulan ibu saya pasti akan menghantar saya sebungkus serunding dan kuih bahulu yang boleh bertahan selama sebulan dan membantu saya menampung kehidupan selama dua tahun. Serunding itu menjadi penyelamat saya kerana ia menjadi sarapan pagi dengan sebuku roti, makan tengahari dan makan malam dengan nasi dan sayur-sayuran.

Ibu dan semua kakak-kakak saya bergotong-royong membantu saya menjimatkan wang. Kakak saya Rewayati membantu ibu memasak serunding berselang seli dengan daging lembu dan ayam. Kami memanggilnya abon-abon dan kadangkala dengan ikan, kami memanggilnya Bejabu. Untuk bertahan lama, semuanya perlu dimasak dengan api kecil selama tiga jam. Saya dapat bayangkan dedikasi kakak saya Rewayati sekali sekala dibantu Hartini dalam usaha mereka bantu saya. Allahyarham Hairati bertanggungjawab  menguruskan penghantaran dan mengepos bungkusan itu.

Setiap kali, Datuk Syed Abas dan Datuk Ghapur ke London, mereka juga cukup baik hati membawa bersama barang-barang ini untuk dihantar kepada saya. Saya menerima banyak bantuan hasil hubungan baik bapa saya dengan rakan-rakannya.

Ayah saya terpaksa bekerja lebih keras menjual kayu bakau, pakaian dan pelbagai barang di pasar malam Kampung Air  Kota Kinabalu untuk membiayai pengajian saya. Saya juga dimaklumkan ayah saya mendapat bantuan Datuk Onn Arifin dan Datuk Dayang Mahani untuk perniagaan kerepek bakau ketika itu.

Ayah saya meminta untuk menjadi salah seorang sub kontraktor bagi membantu membiayai pengajian anak-anaknya. Sumber yang diperolehi daripada pendapatan ayah saya, dua orang abang saya yang bekerja dan subsidi daripada Datuk Ghapur semuanya cukup untuk membolehkan saya belajar A-Levels di London.

ANS: Lulus A-Levels, dimana Datuk melanjutkan pengajian?

AK: Saya diterima masuk di Queen Mary College, University of London.Ini sebenarnya pilihan kedua saya. Pilihan pertama Imperial College untuk kejuruteraan Awam tetapi unversiti itu memerlukan sekurang-kurangnya 3A. Saya mendapat  A dalam Matematik Gunaan dan Matematik Tulen tetapi B dalam Fizik.

Malangnya universiti menaikkan yuran pengajian kepada 3,000 pound setahun yang sudah tentu saya tidak mampu. Sekali lagi, dengan pertolongan Allah, saya dipertemukan dengan pegawai yang menjaga biasiswa ketika itu, Datuk KY Mustafa.

Ketika itu, beliau membuat lawatan kepada pelajar Sabah yang merupakan Pemegang Biasiswa Kerajaan Negeri. Secara kebetulan saya bertemu dengannya di sebuah masjid di London dan beliau bertanya sama ada saya mempunyai biasiswa Kerajaan Negeri atau Yayasan. Apabila saya memberitahunya saya tidak mempunyai sebarang biasiswa beliau terkejut dan teruja bagaimana saya boleh bertahan dari segi kewangan. Saya jelaskan saya telah memohon tetapi tidak mendapat biasiswa. Beliau memberitahu saya sepatutnya mendapat biasiswa.

Jika tidak bertemu Datuk KY Mustafa dan memberikan saya biasiswa , saya terpaksa mengemas beg saya dan pulang ke rumah dan terpaksa melanjutkan pelajaran di Universiti Tempatan.

Alhamdulillah, saya lulus dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam Kejuruteraan Awam dari Queen Mary University of London pada tahun 1983.

ANS: Selepas pulang ke Sabah, di mana datuk bekerja?

AK: Saya bermula sebagai Jurutera Eksekutif di JKR Sabah pada tahun 1984. Saya berkhidmat di sana lebih 34 tahun sehinggalah saya dilantik sebagai Pengarah dari tahun 2015 hingga 2018. Selepas itu saya dilantik pula sebagai Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang banyak memberikan pengalaman kepada saya dan seterusnya dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

ANS: Sepanjang berkhidmat selama lebih 35 tahun dalam sektor awam, Datuk menyebut mengenai 7 langkah Peningkatan Majestik . Ramai yang ingin tahu. Boleh ceritakan sedikit mengenainya?

AK: Bagi saya, kerja bukan sekadar kerja saja. Saya menganggap kerja sebagai platform untuk mengembangkan diri saya dari segi kemahiran, kepakaran dan pengalaman. Setiap kerja itu, bagi saya, memberikan saya cabaran yang semakin meningkat untuk menguji keupayaan, keberanian dan kesabaran saya untuk mencapai sesuatu matlamat tertentu.

Saya hanya orang biasa yang mempunyai semangat dan komitmen yang luar biasa untuk melakukan yang terbaik.

Sejak hari pertama saya bekerja, saya sudah bersedia untuk merebut setiap peluang yang ditawarkan. Saya bertuah kerana saya mendapat banyak peluang untuk belajar daripada pihak atasan dan rakan sekerja. Saya seorang yang mempunyai minda yang sangat terbuka, bersedia untuk menambah baik apa yang saya lakukan setiap hari.

Selama bertahun-tahun, saya meneliti dan menganalisis fakta yang memberikan kejayaan kepada seseorang pemimpin dalam memainkan peranan masing-masing. Melalui kajian dan analisis ke atas pemimpin-pemimpin tempatan dan antarabangsa dengan pengalaman saya menerajui beberapa organisasi, saya membentuk satu rangka kerja untuk kepimpinan berkesan bagi organisasi yang saya panggil 7 Langkah Peningkatan Majestik.

Amrullah menunjukkan buku yang ditulisnya.
Amrullah menunjukkan buku yang ditulisnya.

ANS:  Mungkin Datuk boleh jelaskan secara ringkas? Apa yang dikatakan Langkah Peningkatan Majestik 1?

AK: Berpandangan Jauh Membentuk Wawasan Berinspirasi. Pandangan jauh bukan sahaja keupayaan untuk melihat apa yang akan datang tetapi juga keupayaan untuk menjangka hasil daripada tindakan yang diambil. Pandangan jauh dibina daripada pengetahuan, maklumat dan pengalaman yang luas selama bertahun-tahun untuk membolehkan seseorang menggunakannya dengan bijak  untuk membuat persiapan untuk masa depan.

Visi atau wawasan adalah apa yang dilihat oleh seseorang apa hasil akhirnya. Ia lebih fokus kepada hasil atau destinasi seseorang pemimpin dan apa yang mahu dicapai oleh organisasinya. Pemimpin yang cekap mempunyai hala tuju yang ketara dalam memimpin organisasinya.

Saya menemui dua golongan pemimpin berkaitan dengan visi sepanjang pengalaman saya. Golongan pertama adalah pemimpin yang membawa visi dalam kepala mereka sendiri dan menyimpannya untuk diri sendiri. Golongan kedua  ialah pemimpin yang menyampaikan visi mereka dengan jelas kepada kakitangan mereka dan memberi inspirasi kepada mereka untuk mencapainya.

ANS: Langkah Peningkatan Majestik yang kedua?

AK: Berani Bersuara dan Berbuat Apa Yang Betul. Itu Langkah Peningkatan Majestik Yang Kedua. Untuk berani buat apa yang betul, sering kali memerlukan kita mengambil jalan yang kurang dilalui. Kebanyakan orang suka mengambil jalan selamat.

Bagaimanapun, jika keadaan kelihatan sangat tidak popular dan susah untuk dipertahankan, seseorang perlu mencari keberanian untuk menyuarakan pendapatnya dalam mesyuarat penting dan dalam setiap peluang yang timbul untuk melakukan apa yang betul. Ramai yang gagal kerana terlalu takut untuk mengemukakan pendapat dan idea  baru yang bercanggah dengan yang lain.

ANS:  Apa pula langkah yang ketiga?

AK: Membina Kemahiran Komunikasi yang Hebat. Kemahiran  berkomunikasi memerlukan gabungan pelbagai seni memujuk, meyakinkan dan berunding untuk menyampaikan mesej yang bukan sahaja  masuk akal tetapi boleh menyentuh perasaan orang ramai.

Cara seseorang berkomunikasi haruslah disesuaikan dengan tujuannya. Pemimpin mesti peka dan fokus kepada matlamat mereka iu berkomunikasi untuk mendapat hasil yang diingini.

Ada pelbagai sebab mengapa kita berkomunikasi. Kita berkomunkasi untuk memaklumkan, kita berkomunkasi untuk mengajar, berkomunikasi untuk meyakinkan,  dan tidak lupa berkomunikasi untuk memberi inspirasi. Setiap satu objektif komunikasi ini memerlukan pendekatan berbeza untuk mencapai hasil yang diinginkan. Satu saiz memang tidak sesuai untuk semua. Kita perlu menyesuaikan setiap pendekatan dan gaya komunikasi kepada setiap orang dan keadaan untuk mencapai hasil yang tertentu.

Langkah Peningkatan Majestik yang keempat ialah Dorongan Kuat Untuk Mencapai Kejayaan iaitu selalu  mendahagakan kejayaan.

ANS: Teruskan! Langkah Peningkatan Majestik yang keempat ialah Dorongan kuat untuk Mencapai  Kejayaan?

AK: Batu penghalang nombor satu bukan masalah tetapi takut mencuba.Kebanyakan orang yang gagal kerana takut mencuba. Untuk maju ke hadapan, kita perlu alihkan fokus kita daripada kegagalan kepada kejayaan. Hanya apabila kita mempunyai dorongan untuk berjaya lebih besar daripada ketakutan gagal, barulah kita boleh mengatasi rintangan untuk berubah dan mengambil tindakan. 

Ketakutan gagal selalunya menjadi batu penghalang terbesar untuk kejayaan. Cara mengatasi ketakutan  gagal adalah dengan cara mengubah cara kita melihat kegagalan. Kegagalan haanyalah kejayaan yang tertunda. Kita harus mencuba cara yang lebih baik untuk berjaya. Seseorang tidak boleh dianggap gagal melainkan jika dia sudah berhenti mencuba.

Kejayaan bukan Muktamad, kegagalan tidak membawa maut, keberanian meneruskan, itulah yang penting, demikian pendapat Sir Winston Churchill yang selalu saya petik.Kejayaan ini satu perjalanan. Bukan destinasi.

 ANS; Langkah yang kelima?

AK: Laksanakan Dengan Baik dan mengambil tindakan yang mega (besar-besaran) tanpa lengah lengah lagi.  Kegagalan selalu berlaku kerana seseorang pemimpin hanya punya perancangan dan strategi tetapi tidak mengambil tindakan yang perlu.

Saya dapati pemimpin berkesan adalah yang memetakan visi yang jelas mengenai masa depan atau matlamat yang diingini, membina  pasukan yang melibatkan orang ramai dan kemudian melaksanakan rancangan itu. Untuk membolehkan pelaksanaan yang berjaya, pemimpin mesti membuat keputusan yang wajar dan melakukan tindakan besar-besaran dan dorongan untuk berjaya.

ANS:  Langkah seterusnya!. Yang keenam?

AK:  Langkah Peningkatan Majestik yang kenam ialah Buat Tindakan Susulan untuk Berjaya. Tindakan susulan adalah mengenai  tindakan berterusan dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk merealisasikan matlamat yang ditetapkan.

Ramai orang teruja dengan idea dan cadangan pada awalnya tetapi apabila mereka menghadapi masalah di sepanjang jalan, semangat mereka perlahan-lahan berkurangan. Tindakan susulan bukan melakukan apa saja yang boleh tetapi melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk mencapai matlamat. Kita lakukan apa sahaja yang diperlukan, mewajibkan seseorang untuk menjadi inovatif dan bijak mencari jalan untuk mengatasi tantangan dan penerimaan oleh pihak atasan dan orang ramai.

ANS: Langkah Peningkatan Majestik yang terakhir ialah Membina Pasukan yang Perkasa dan Bermotivasi.

 AK: Langkah Peningkatan Majestik yang ketujuh ialah membina pasukan dan mengekalkan motivasi pasukan untuk memastikan orang ramai terus melakukan apa yang sepatutnya penting untuk kejayaan dalam keseluruhan proses daripada visi hingga pelaksanaan. Tiada pemimpin hebat  yang melakukan segala-galanya dengan sendiri.Pemimpin berkesan membina pasukan dan mencungkil bakat-bakat dan kekuatan setiap individu.

ANS:   Mungkin datuk boleh ceritakan sedikit mengenai pesan ibu bapa yang menjadi sumber kekuatan datuk?

AK: Antara pesanan ayah yang selalu dikongsikannya kepada kami ialah memanfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara seperti yang dipesankan oleh Nabi Muhammad S.A.W iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua,kaya sebelum miskin,lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati. Satu lagi yang dipesankan oleh ayah ialah kongsi ilmu walau sekecil mana pun.

Kita berkewajiban untuk berkongsi dengan orang lain apa sahaja ilmu atau kemahiran yang dikumpul  selama ini. Satu lagi hari ini mesti lebih baik daripada semalam dan esok mesti lebih baik daripada hari ini. Dan selesaikan kerja yang ada pada hari ini dan jangan ditunda keesokan hari kerana esok membawa  kerja dan masalah yang baru.

ANS: Terima kasih banyak datuk kerana sudi ditemuramah untuk ruangan Secangkir Kopi ini.

AK:     Terima kasih kembali. Moga bermanfaat.

  • oleh
  • Advertisement