Anda di sini

'Dabai harga kayangan, dabai sesat'

Advertisement

SIBU: Dabai dijual dengan harga RM95 sekilogram di Pasar Sentral Sibu? Rentetan gambar tular di media sosial, ramai melabelkannya sebagai 'harga kayangan'.

Tinjauan Utusan Borneo hari ini mendapati ia dijual pada harga tinggi kerana pada masa sekarang bukan musim dabai. 

Seorang peniaga yang enggan disiarkan nama, menggelar ia sebagai dabai 'sesat' kerana berbuah walaupun belum tiba musim.

Dabai 'sesat' ini menurutnya diperolehi dari Kanowit.

"Saya sendiri juga terkejut apabila ada pembekal menawarkan buah dabai kepada kami, padahal belum musimnya lagi. Sebab itu kami menggelarnya 'dabai sesat'. Kalau diikutkan musim dabai adalah bulan Disember dan pada masa itu, dabai akan dijual pada harga yang lebih murah.

"Kalau orang ramai lihat harganya mahal, itu disebabkan bekalan yang sikit, tetapi permintaannya tinggi," jelasnya.

Gambar tular di media sosial yang menunjukkan harga 'kayangan' dabai.
Gambar tular di media sosial yang menunjukkan harga 'kayangan' dabai.

Dabai mula dijual di Pasar Sentral Sibu sejak seminggu lalu.

Walaupun dijual pada harga RM60 hingga RM90 sekilogram, kata peniaga itu, jualan tetap laris kerana ramai gemar makan buah unik dari Sarawak ini.

"Hari ini, bekalan yang tinggal tidak sampai dua atau tiga kilogram sahaja dan esok mungkin tiada bekalan lagi. Tapi, kalau esok ada lagi (buah dabai), maknanya ada lagilah dabai 'sesat' itu," katanya.

Tinjauan turut mendapati hanya tinggal dua peniaga yang masih menjual dabai, tetapi kuantitinya hanya tinggal sedikit sahaja.

Masing-masing menjual pada harga RM30 dan RM60 sekilogram.

Ini sahaja lagi dabai yang tinggal di Pasar Sentral Sibu setakat petang Khamis (4 Ogos).
Ini sahaja lagi dabai yang tinggal di Pasar Sentral Sibu setakat petang Khamis (4 Ogos).
RM30 sekilogram dianggap sebagai harga mampu beli.
RM30 sekilogram dianggap sebagai harga mampu beli.
  • oleh
  • Advertisement