Anda di sini

Bursa Malaysia cecah paras tertinggi harian, KLCI naik 1.15 peratus

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri penyusutan dua hari berturut-turut apabila ditutup mencecah paras tertinggi harian pada Khamis dengan indeks petunjuk utama menokok 1.15 peratus, didorong oleh prestasi kaunter teknologi, telekomunikasi dan penjagan kesihatan.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 17.14 mata ke paras tertinggi harian pada 1,507.71 berbanding 1,490.57 pada akhir dagangan Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka naik 1.09 mata kepada 1,491.66.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 611 berbanding 276 manakala 392 kaunter tidak berubah, 956 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.65 bilion unit bernilai RM1.89 bilion daripada 1.91 bilion unit bernilai RM1.35 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata di peringkat serantau, indeks-indeks utama kebanyakannya ditutup lebih tinggi susulan petunjuk positif semalaman daripada Wall Street.

Pada masa sama, katanya, aliran dana asing terus ketara di rantau yang dilihat mempunyai potensi pertumbuhan dalam pasaran ekuiti.

“Di peringkat tempatan, kami optimis namun berhati-hati susulan peningkatan sentimen dalam pasaran domestik di tengah-tengah aliran dana asing ini. Berikutan itu, kami menjangkakan indeks petunjuk utama ini mengekalkan aliran peningkatannya sehingga hujung minggu ini.

“Selepas berjaya melepasi paras 1,500, paras rintangan seterusnya adalah 1,530 manakala sokongan pada 1,460,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata, para pelabur juga lebih tertumpu kepada perkembangan membabitkan pelaporan prestasi korporat akan datang berbanding aspek geopolitik di Selat Taiwan.

Media China hari ini melaporkan mengenai tindakan negara itu memulakan latihan ketenteraan di kawasan perairan serta udara sekitar Taiwan.

Dalam pada itu di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank naik 7.0 sen kepada RM8.90, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing meningkat 4.0 sen kepada RM4.65 dan RM6.46 manakala CIMB naik 2.0 sen kepada RM5.25 namun Petronas Chemicals susut 4.0 sen kepada RM8.86.

Bagi saham aktif, Dagang Nexchange menambah 7.0 sen kepada 88 sen, PUC dan Zen Tech turun setengah sen masing-masing pada 2.0 sen dan 3.0 sen, CSH Alliance rugi 1.0 sen kepada 5.0 sen dan Metronic susut 2.5 sen kepada 7.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 122.06 mata kepada 10,694.28, Indeks FBMT 100 menokok 120.09 mata kepada 10,443.84, Indeks FBM ACE menambah 94.83 mata kepada 4,885.28, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 154.68 mata kepada 10,867.73 dan FBM 70 naik 154.68 mata kepada 12,804.27.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 55.98 mata kepada 7,083.99, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 95.07 mata kepada 16,665.21, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.77 mata kepada 185.97 manakala Indeks Tenaga menambah 0.33 mata kepada 661.07.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.73 bilion saham bernilai RM1.63 bilion berbanding 1.12 bilion saham bernilai RM1.14 bilion, semalam.

Waran meningkat kepada 369.91 juta unit bernilai RM58.29 juta berbanding 282.36 juta unit bernilai RM51.49 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan bertambah kepada 547.97 juta saham bernilai RM197.96 juta daripada 507.42 juta saham bernilai RM162.16 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 168.97 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (871.10 juta), pembinaan (34.48 juta), teknologi (228.47 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (65.87 juta), hartanah (61.72 juta), perladangan (24.84 juta), REIT (4.56 juta), dana/tertutup (1,000), tenaga (108.17 juta), penjagaan kesihatan (78.17 juta), telekomunikasi dan media (54.56 juta), pengangkutan dan logistik (15.84 juta) serta utiliti (13.55 juta). - BERNAMA 

Advertisement