Anda di sini

Bayi perlu bantuan kewangan untuk pembedahan jantung

Advertisement
Entia memegang gambar anaknya Federick yang telah didiagnosis dengan TGA, sejenis kecacatan jantung kongenital. – Foto ihsan Da-Ai Malaysia Social Crowdfunding
Entia memegang gambar anaknya Federick yang telah didiagnosis dengan TGA, sejenis kecacatan jantung kongenital. – Foto ihsan Da-Ai Malaysia Social Crowdfunding

Orang ramai dirayu bantu ibu bapa Federick kumpul RM80,000 bagi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur

“Ibu Federick iaitu Entia Nyantau, seorang suri rumah berusia 27 tahun perlu menjaga tiga anak di rumah termasuk Federick.” 

Celine Ng
Pekerja sosial 

KUCHING: Seorang bayi lelaki berusia tiga minggu dari Kuching telah didiagnosis dengan keadaan jantung yang mengancam nyawa dan memerlukan pembedahan segera untuk menyelamatkan nyawanya.

Federick Jali didapati mempunyai transposisi arteri besar (TGA) iaitu kecacatan kelahiran pada hari keempat selepas dia dilahirkan.

TGA adalah kecacatan kelahiran di bahagian jantung iaitu dua arteri utama telah bertukar tempat dalam membawa darah keluar dari jantung ke arteri pulmonari utama dan aorta.

Sehubungan itu, Da-Ai Malaysia Social Crowdfunding merayu sumbangan orang ramai untuk membantu ibu bapa Federick mengumpul RM80,000 bagi pembedahan anak mereka di Hospital Kuala Lumpur.

Pekerja sosialnya Celine Ng berkata, organisasi yang bukan berasaskan keuntungan itu telah diamanahkan oleh ibu bapa Federick untuk mengendalikan pendanaan awam kerana mereka tidak dapat menampung perbelanjaan perubatan yang tinggi.

“Ibu Federick iaitu Entia Nyantau, seorang suri rumah berusia 27 tahun perlu menjaga tiga anak di rumah termasuk Federick.

“Keluarga lima orang itu bergantung kepada bapa, Naga Alap, 34, yang bekerja sebagai mekanik dengan gaji tidak seberapa. 

“Ia adalah sangat sukar baginya untuk menyara keluarga dan dia tidak mampu menanggung kos pembedahan yang tinggi,” kata Ng.

Entia perlu melakukan perjalanan dari Kuching ke Kuala Lumpur dan dia tidak biasa dengan bandar besar itu serta terpaksa menanggung kos perbelanjaan lain seperti pengangkutan, makanan, penginapan dan sebagainya, tambah Ng.

Selain itu, Entia berkata Federick perlu menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur kerana peralatan perubatan untuk pembedahan itu hanya terdapat di sana.

“Laporan hospital menyatakan bahawa Federick dikehendaki menjalani prosedur yang dipanggil ‘suis arteri’ (arterial switch) untuk meletakkan dua saluran darah utama ke dalam lumen pam yang sepadan. Sekiranya saluran darah tidak diletakkan dengan betul atau berfungsi secara tidak normal, bayi itu tidak akan dapat bertahan.

“Justeru, pembedahan jantung adalah satu-satunya pilihan dan ia tidak boleh ditangguhkan. Keadaan ini memerlukan rawatan segera dan kami amat berharap orang ramai dapat menyumbang untuk menyelamatkan nyawa Federick,” kata Ng.

Mereka yang ingin menderma atau membantu boleh menghubungi Ng di talian 010-2186816 atau e-mel ke celine6816@gmail.com.
 

Advertisement