Anda di sini

AS kenakan sekatan ekonomi ke atas teman wanita Putin, hartawan Rusia

Advertisement
 

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kelmarin telah menyenaraihitamkan teman wanita Presiden Rusia Vladimir Putin yang juga merupakan pemilik hartawan estet kedua terbesar di London dalam sekatan terbaharu berhubung pencerobohan Ukraine.

Turut terkena sekatan AS  itu ialah beberapa oligarki lain yang dipercayai rapat dengan Putin, empat pegawai yang dinamakan Rusia untuk mentadbir wilayah yang diduduki di Ukraine, dan berpuluh-puluh institut dan syarikat teknologi tinggi, termasuk entiti elektronik utama yang disokong kerajaan.

Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan ke atas sekutu Putin dan jutawan Andrey Grigoryevich Guryev, yang memiliki hartanah Witanhurst, estet kedua terbesar di London selepas Istana Buckingham.

Guryev ialah pengasas dan bekas timbalan pengerusi PhosAgro, pembekal utama kepada pasaran baja global.

Dia dan anak lelakinya dikenakan sekatan kewangan, yang melarang perniagaan AS – termasuk bank cawangan AS – daripada membuat transaksi serta membekukan aset mereka di bawah bidang kuasa AS.

Perbendaharaan AS juga menyenaraihitamkan kapal layar 81 meter Guryev yang berpangkalan di Caribbean, Alfa Nero, meletakkannya pada risiko rampasan.

Bagaimanapun, Perbendaharaan berkata, Alfa Nero dilaporkan telah memadam perkakasan pengesanan lokasinya untuk mengelakkan rampasan.

Perbendaharaan juga mengenakan sekatan ke atas Alina Kabaeva, bekas ahli gimnastik Olimpik yang dikatakan ramai sebagai teman wanita Putin, dan Natalya Popova, isteri Kirill Dmitriev, pengurus dana kekayaan berdaulat kerajaan Rusia.

Popova bekerja untuk firma teknologi Innopraktika, yang dikendalikan oleh salah seorang anak perempuan Putin.

“Tatkala orang yang tidak bersalah menderita akibat pencerobohan haram Rusia, sekutu Putin pula memperkaya diri mereka dan membiayai gaya hidup mewah,” kata Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dalam satu kenyataan.

“Jabatan Perbendaharaan akan menggunakan setiap alat yang kami miliki untuk memastikan bahawa elit Rusia dan sekutu Kremlin bertanggungjawab atas penglibatan mereka dalam peperangan yang telah mengorbankan nyawa yang tidak terkira banyaknya,” kata Yellen.

Viktor Filippovich Rashnikov, salah seorang pembayar cukai terbanyak di Rusia, dan dua anak syarikat MMK, yang merupakan antara pengeluar keluli terbesar di dunia, turut dikenakan sekatan.

Dalam tindakan bersama, Jabatan Negara mengenakan sekatan, termasuk sekatan visa, ke atas oligarki yang “mengendalikan syarikat penjana pendapatan besar-besaran,” termasuk Dmitry Aleksandrovich Pumpyanskiy, Andrey Igorevich Melnichenko dan Alexander Anatolevich Ponomarenko. — AFP
 

Advertisement