Anda di sini

Segera ambil tindakan tangkap buaya di Sungai di Kinabatangan

Advertisement
BUNG MOKTAR
BUNG MOKTAR

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar diminta mengambil tindakan proaktif bagi menangani isu berkaitan buaya di Sungai Kinabatangan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, tindakan menangkap buaya di Sungai Kinabatangan perlu dilaksanakan dengan kadar segera.

Katanya, langkah itu bagi memastikan aspek keselamatan penduduk tidak terancam terutama mereka yang mencari sumber rezeki atau sebagai laluan seharian di kawasan sungai berkenaan.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan proaktif dan serius untuk menangani isu terbabit.

"Kerajaan perlu mengambil langkah sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak dengan mewujudkan peraturan atau akta  dalam menangani isu buaya yang terdapat di beberapa sungai di Sabah khususnya di Kinabatangan.

"Tindakan menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik perlu dibenarkan bagi mengurangkan jumlah haiwan terbabit di Sabah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag ini turut berharap keputusan dapat dibuat bagi membolehkan buaya di Sabah diburu serta diperdagangkan.

Beliau berkata, cadangan itu susulan dari kejayaan Malaysia menurun taraf kategori buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II pada Mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) di Afrika Selatan.

"Saya berharap satu kajian akan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai isu ini dan tindakan susulan dapat kita lakukan bagi mengurangkan populasi buaya di Sabah.

"Ini demi menjamin keselamatan penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan berhampiran sungai ," jelasnya.

Bung berkata, kejadian buaya menyerang penduduk terutama di kawasan Sungai Kinabatangan bukan pertama kali berlaku, malah sudah ramai yang menjadi mangsa korban ekoran keganasan hidupan liar terbabit.

Sehubungan itu katanya, tindakan segera untuk menangani isu berkenaan perlu dilakukan pihak berkuasa agar keselamatan penduduk di kawasan terlibat lebih terjamin.

Minggu lepas seorang wanita maut diserang buaya ketika keluar memancing di sungai Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya Kinabatangan.

Bung turut menzahirkan takziah buat ahli keluarga mangsa dan menasihatkan penduduk di kawasan terlibat supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai bagi mengelak kejadian yang tidak diingini dari berlaku.
 

  • oleh
  • Advertisement