Anda di sini

Sarawak Metro tambah Talikhidmat sebagai platform orang ramai beri maklum balas

Advertisement
 

KUCHING: Dalam usaha menambah baik perkhidmatannya secara berterusan, Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) telah menambah Talikhidmat sebagai satu lagi platform untuk orang ramai memberikan maklum balas.

Talikhidmat itu kata satu kenyataannya semalam, merupakan talian bantuan perkhidmatan awam Kerajaan Sarawak.

Sarawak Metro juga berharap dapat memberi khidmat yang lebih baik kepada masyarakat di kawasan bandar raya Kuching, terutama apabila kerja-kerja fizikal Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dimulakan dalam beberapa bulan lagi.

Dengan tambahan talian Talikhidmat, orang ramai boleh menghantar maklum balas mengenai perkhidmatan Sarawak Metro dengan menghubungi 082-555999 atau menghantar SMS ke 62999.

Selain menggunakan Talikhidmat, orang ramai juga boleh berkomunikasi dengan Sarawak Metro melalui laman web syarikat (www.mysarawakmetro.com) atau e-mel ([email protected]) atau melalui akaun media sosial syarikat.

Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah diamanahkan oleh Kerajaan Sarawak untuk membangunkan Projek KUTS, yang bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar raya Kuching.

Projek itu juga bertujuan merealisasikan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memoden dan menyahkarbonkan pengangkutan awam darat.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mempunyai pengangkutan awam yang mampan yang turut menangani isu perubahan iklim, Sarawak Metro akan mengguna pakai penggunaan kenderaan yang dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen untuk Projek KUTS.

Langkah itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan ekonomi hidrogen.

Pada masa ini Sarawak Metro sedang melaksanakan operasi percubaan perkhidmatan bas hidrogen di bandar raya Kuching sebagai persediaan untuk operasi Transit Aliran Autonomi (ART) KUTS dan bas penumpang.

Projek KUTS akan dibangunkan secara berperingkat, dengan Fasa 1 melibatkan satu laluan dari Rembus di Kota Samarahan ke pusat bandar, satu laluan dari Kuching Sentral ke Pending dan dari Pending ke Santubong.

Perkhidmatan untuk Fasa 1 Projek KUTS dijadualkan bermula secara beransur-ansur, bermula dari suku keempat 2025.

Advertisement