Anda di sini

Pengedar dadah warga tempatan berjaya ditahan

Advertisement
 Pengedar dadah terbabit berjaya ditahan dalam satu serbuan.
TANGKAP: Pengedar dadah terbabit berjaya ditahan dalam satu serbuan.

TAWAU: Seorang lelaki tempatan disyaki pengedar dadah berjaya ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Merotai, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai segera melakukan serbuan sebaik menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata hasil serbuan tersebut berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan berumur 36 tahun.

Katanya, suspek terbabit dipercayai aktif menjalankan aktiviti mengedar dadah di kawasan Merotai dan sekitarnya.

“Pemeriksaan lanjut di dalam beg sandang suspek berjaya menemukan 20 paket plastik lutsinar pelbagai saiz disyaki mengandungi dadah jenis syabu.

“Syabu yang dianggarkan seberat 11.54 gram itu dipercayai untuk dipasarkan kepada penagih di sekitar kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Jasmin berkata suspek dan barang rampasan berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement