Anda di sini

Kerajaan pandang serius pemindahan polis bermasalah ke Sabah

Advertisement
HAJIJI
HAJIJI

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memandang serius tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak tanpa mendapat pandangan dari kerajaan negeri terlebih dahulu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.

"Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hajiji yang sedang menunaikan ibadah Umrah berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak polis mengenai perkara berkenaan.

Terdahulu dalam laporan Sinar Harian, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi dipetik berkata, sembilan anggota polis yang sebelum ini disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak Selangor mengenai pemilikan dadah baru-baru ini ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

Katanya, siasatan berkaitan kesemua anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor masih dijalankan secara terperinci dan kesemua anggota yang terlibat ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.
 

  • oleh
  • Advertisement