Anda di sini

JKDM Sabah rampas 52 kilogram syabu bernilai RM1.888 juta

Advertisement
 Zazuli menunjukkan rampasan dadah dan alat untuk membungkus bekalan dadah semasa sidang media.
RAMPAS: Zazuli menunjukkan rampasan dadah dan alat untuk membungkus bekalan dadah semasa sidang media.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas 52 kilogram dadah jenis syabu atau methampetamine dalam satu serbuan di sini.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Zazuli Johan berkata serbuan dalam Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV dijalankan kira-kira jam 12.12 tengah hari para 28 Julai lalu.

“Bertindak dengan maklumat Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), serbuan dijalankan di sebuah rumah di ibu negeri di sini.

“Hasil serbuan berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dan merampas 52 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM1.888 juta,” katanya semasa sidang media di Dewan Sri Khazali Menara Kastam di sini semalam.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati rumah yang diserbu dijadikan sebagai lokasi untuk melakukan proses pembungkusan dadah.

“Suspek juga melakukan modus operandi dengan memasukkan keemua dadah berkenaan ke dalam plastik teh dan seterusnya melalui proses kedap udara dengan jumlah berat tertentu.

“Dadah terbabit kemudiannya disembunyikan di dalam kotak peralatan elektrik dapur dipercayai bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Zazuli berkata siasatan lanjut turut mendapati kesemua dadah itu dipercayai untuk kegunaan di dalam serta luar negeri.

“JKDM Sabah bagaimanapun masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita amat komited dalam menangani sebarang aktiviti yang melibatkan penyeludupan dadah,” katanya.

Sementara itu Zazuli berkata, masyarakat turut digesa untuk membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi juga mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya sebarang maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan boleh disalurkan kepada JKDM dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement