Anda di sini

Festival WAK2022 terima permohonan penyertaan di luar jangkaan

Advertisement
WAK2022 meliputi 111 acara daripada pelbagai genre termasuk muzik, teater, tarian, seni kraf tangan, kulinari, sastera dan budaya serta tidak ketinggalan acara sukan dan aktiviti lasak bertemakan alam sekitar.
WAK2022 meliputi 111 acara daripada pelbagai genre termasuk muzik, teater, tarian, seni kraf tangan, kulinari, sastera dan budaya serta tidak ketinggalan acara sukan dan aktiviti lasak bertemakan alam sekitar.

KUCHING: Festival ‘What About Kuching’ (WAK2022) edisi keempat bakal melakar sejarah tersendiri apabila menerima jumlah permohonan penyertaan di luar jangkaan daripada para penggiat seni dan budaya bagi mengisi kalendar festival sepanjang Oktober nanti.

Pengasas siri Festival WAK Donald Tan berkata, apabila permohonan penyertaan ditutup pada 31 Julai, WAK2022 berjaya menerima 69 kertas cadangan daripada 59 rakan penganjur. 

Ia katanya, meliputi 111 acara daripada pelbagai genre termasuk muzik, teater, tarian, seni kraf tangan, kulinari, sastera dan budaya serta tidak ketinggalan acara sukan dan aktiviti lasak bertemakan alam sekitar.

“Kami amat teruja dengan sokongan yang diterima WAK kali ini bukan sahaja dari segi jumlah, malah semuanya berkualiti tinggi dan bertaraf dunia. 

“Tugas kami sekarang ialah untuk berbincang dan membuat perancangan secara terperinci dengan semua para penggiat dan penganjur acara bagi memastikan semuanya berjalan lancar Oktober nanti.

“Sehubungan itu, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak terutama sekali kepada Menteri Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah atas sokongan tidak berbelah bahagi beliau terhadap WAK sebagai acara bagi mempromosikan kebudayaan, gaya hidup dan kesenian rakyat untuk dinikmati dan dialami sendiri para pelawat dan pelancong,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu juga berasa amat berbesar hati dengan sokongan diberikan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta rakan-rakan penaja seperti ECHO Premier Sound & Light, TV Sarawak (TVS), Hitz FM, Cats FM, tHe Spring Mall, Food Journal Sdn Bhd, Plaza Merdeka & The Waterfront Hotel, Sara Resorts & Sara Urusharta Sdn Bhd serta ramai lagi yang menyumbang dalam pelbagai bentuk dan cara bagi memastikan kejayaan WAK2022.

WAK2022 akan mengumumkan kalendar festival pada 1 September dengan pelbagai acara yang boleh dinikmati semua orang. 

Kulinari juga akan menjadi satu tarikan utama sepanjang festival nanti.

WAK2022 akan berlangsung sepanjang Oktober 2022 sebagai festival yang digerakkan oleh masyarakat Kuching sendiri, memaparkan kesenian, kebudayaan dan gaya hidup tempatan menerusi pelbagai program dan acara yang berpusat di bandar raya Kuching serta kawasan sekitarnya.

WAK yang bermula pada 2017, diterajui pasangan Donald dan Marina Tan yang memupuk kerjasama dengan masyarakat tempatan di bandar raya Kuching City untuk mementaskan persembahan mereka kepada khalayak di bawah satu tema iaitu ‘What About Kuching – Meraikan Seni, Budaya & Gaya Hidup’. 

Kini ia lebih dikenali sebagai ‘WAK, festival oleh masyarakat, untuk masyarakat’.

WAK yang mula dianjurkan pada 2017 akan membuka lembaran baharu tahun ini setelah dua tahun terhenti akibat pandemik. 

Ia disokong dan dinaungi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Untuk maklumat lanjut tentang WAK2022, layari www.aboutkuching.com. 

Ikuti perkembangan terkini WAK2022 di Facebook dan Instagram @aboutkuching.

Advertisement