Anda di sini

Festival WAK2022 di Kuching bakal lakar sejarah Oktober ini

Advertisement
 Festival WAK2022 bakal melakar sejarah sendiri pada Oktober tahun ini.
WAK2022: Festival WAK2022 bakal melakar sejarah sendiri pada Oktober tahun ini.

KUCHING: Edisi keempat Festival ‘What About Kuching’ (WAK2022) bakal melakar sejarah tersendiri apabila menerima jumlah permohonan penyertaan luar jangkaan daripada para penggiat seni dan budaya bagi mengisi kalendar festival sepanjang Oktober nanti.

WAK yang mula dianjurkan pada 2017 akan membuka lembaran baharu tahun ini selepas dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19 selain mendapat sokongan dan dinaungi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Pengasas Siri Festival WAK Donald Tan berkata, selepas permohonan penyertaan ditutup pada 31 Julai lepas, WAK2022 berjaya menerima sebanyak 69 kertas cadangan daripada 59 rakan penganjur.

Katanya, ia meliputi 111 acara dari pelbagai genre termasuk muzik, teater, tarian, seni kraftangan, kulinari, sastera dan budaya, serta tidak ketinggalan acara sukan dan aktiviti lasak bertemakan alam sekitar.

"Kami amat teruja dengan sokongan yang diterima WAK kali ini, bukan sahaja dari segi jumlah, malah semuanya berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.

"Tugas kami sekarang ialah untuk berbincang dan membuat perancangan secara terperinci dengan semua penggiat dan penganjur acara bagi memastikan semuanya berjalan lancar Oktober nanti.

"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, terutama sekali kepada menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah atas sokongan tidak berbelah-bahagi beliau terhadap WAK sebagai acara yang mempromosikan kebudayaan, gaya hidup dan kesenian rakyat untuk dinikmati dan dialami sendiri para pelawat dan pelancong," jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pihaknya turut berbesar hati dan bangga dengan sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta rakan-rakan penaja seperti ECHO Premier Sound & Light, TV Sarawak (TVS), Hitz FM, Cats FM, tHe Spring Mall, Food Journal Sdn. Bhd., Plaza Merdeka & The Waterfront Hotel, Sara Resorts & Sara Urusharta Sdn. Bhd. serta ramai lagi yang menyumbang dalam pelbagai bentuk dan cara bagi memastikan kejayaan WAK2022.

“Kuching bakal digegarkan dengan pelbagai acara dan aktiviti menarik sepanjang Oktober dan ia adalah masa terbaik untuk melawat bandaraya ini dan seterusnya meneroka Sarawak secara keseluruhan.

"WAK2022 juga akan mengumumkan kalendar festival pada 1 September depan dengan pelbagai acara yang boleh dinikmati semua orang.

"Kami berharap pelawat dari luar Sarawak akan turut berkunjung dan sama-sama menikmati dan memeriahkan WAK2022 Oktober nanti," katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang terlepas menyertai acara-acara ikonik seperti Rainforest World Music Festival dan Borneo Jazz Festival baru-baru ini, WAK2022 adalah peluang terbaik anda untuk mengalami sendiri kebudayaan dan warisan kami, sambil menikmati persembahan muzik, teater dan kesenian baik yang moden mahupun tradisional. Kulinari juga akan menjadi satu tarikan utama sepanjang festival nanti.

Menurutnya, WAK2022 akan berlangsung sepanjang Oktober 2022 sebagai festival yang digerakkan oleh masyarakat Kuching sendiri, memaparkan kesenian, kebudayaan dan gaya hidup tempatan menerusi pelbagai program dan acara yang berpusat di Bandaraya Kuching serta kawasan sekitarnya.

WAK yang bermula pada 2017, diterajui oleh pasangan Donald dan Marina Tan yang memupuk kerjasama dengan masyarakat tempatan di Bandaraya Kuching untuk mementaskan persembahan mereka kepada khalayak di bawah satu tema iaitu ‘What About Kuching-Meraikan Seni, Budaya & Gaya Hidup’.

Kini ia lebih dikenali sebagai ‘WAK, festival oleh masyarakat, untuk masyarakat’.

Untuk maklumat lanjut tentang WAK2022, layari www.aboutkuching.com. Ikuti perkembangan terkini WAK2022 di Facebook dan Instagram @aboutkuching.
 

Advertisement