Anda di sini

Belum ada anggota polis berkaitan kes peras ugut dipindah ke Sarawak

Advertisement

KUCHING: Belum ada anggota dan pegawai polis yang sedang disiasat berkaitan kes peras ugut di Selangor melapor diri di Sarawak, demikian menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

"Kita telah menyemak laporan media ini (yang mengatakan anggota dan pegawai polis bermasalah dipindahkan ke Sarawak) dengan pejabat Pesuruhjaya Polis Sarawak dan dimaklumkan bahawa belum ada anggota yang dimaksudkan melaporkan diri di Kontinjen Polis Sarawak setakat ini," kata kenyataan media pejabat itu, hari ini.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa pertukaran sembilan anggota polis terbabit ke Sarawak akan dikaji semula oleh pucuk pimpinan PDRM.

Laporan media yang disiarkan pada Selasa mendapat pelbagai reaksi warga net yang majoriti tidak setuju dengan tindakan tersebut.

"Kerajaan Sarawak menyambut baik usaha PDRM untuk menambahkan bilangan anggota untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan demi kesejahteraan rakyat Sarawak, namun, kita berharap PDRM menempatkan pegawai dan anggota yang berintegriti tinggi serta bebas dari sebarang siasatan jenayah," kata kenyataan itu lagi.

Liwan Lagang
Liwan Lagang

Dalam pada itu, laporan media berkenaan turut menerima reaksi daripada ahli-ahli politik di Sarawak.

"Mereka tidak dialu-alukan ke Sarawak, lebih-lebih lagi di Belaga," ujar Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Liwan Lagang ketika dihubungi.

Liwan yang juga Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi senada dengan pemimpin-pemimpin politik lain dari Sarawak dan Sabah, menyuarakan kekecewaan dengan keputusan kerajaan persekutuan berhubung isu tersebut. 

Beliau berkata sembilan anggota polis terbabit seharusnya diberhentikan serta-merta kerana mereka terbukti menjadi liabiliti kepada jabatan itu.

"Pertama, mari kita letakkan perkara ini dalam perspektif yang betul. Mengapa Sarawak dan Sabah digunakan (tempat) untuk membuang 'epal yang busuk'.

"Sarawak dengan keadaan geografi yang luas dan mencabar seharusnya ditadbir oleh pegawai-pegawai kerajaan yang terbaik, terutama pegawai penguat kuasa undang-undang dari Persekutuan untuk berkhidmat kepada rakyat di sini, bukannya pegawai bermasalah atau tidak bermoral.

"Kedua, memandangkan kesembilan anggota polis ini disiasat kerana terlibat dalam pemerasan kenapa mereka dipindah bertugas ke sini? Adakah itu bukan alasan yang cukup baik untuk memecat mereka," soalnya.

  • oleh
  • Advertisement