Anda di sini

Sultan Muhammad V berkenan isytihar Che Puan Nur Diana Petra sebagai Sultanah Kelantan

Advertisement
 
KOTA BHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan isteri baginda, Che Puan Nur Diana Petra Abdullah sebagai Sultanah Kelantan berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu membawa gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.  

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob membacakan pengisytiharan rasmi itu di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Ahmad berkata pengisytiharan itu dibuat menurut Fasal (1) Perkara 43 Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Dalam pengisytiharan yang sama, Ahmad berkata Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan Pangkat Kemuliaan Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan kepada Che Puan Sofie Louise Johansson Petra, isteri Tengku Mahkota Kelantan. - BERNAMA 

Advertisement