Anda di sini

Parlimen Malaysia, Dewan Perwakilan AS teruskan libat urus kukuhkan hubungan dua hala

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia dan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) mencapai persefahaman untuk meneruskan komunikasi dan libat urus dalam pelbagai isu selain mengukuhkan hubungan dua hala antara institusi itu, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata kunjungan hormat julung kali Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi bersama delegasi kongres AS ke Malaysia khususnya ke Parlimen Malaysia, amat bersejarah selain menjadi platform perbincangan antara institusi parlimen kedua-dua negara.

Menurut Azhar, kunjungan Pelosi itu memberi ruang kepada Parlimen Malaysia untuk mempelajari lebih mendalam berhubung inisiatif serta peranan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas yang sudah mula dibudayakan di Dewan Rakyat.

“Respons mereka amat baik sekali… mereka amat teruja dan di luar jangkaan mereka. Beliau (Pelosi dan delegasi) datang ke sini dengan hati yang terbuka untuk belajar daripada pengalaman kita (Parlimen Malaysia) dan kita juga menerima dengan terbuka untuk belajar pengalaman mereka.

“Saya amat berharap Parlimen Malaysia dapat belajar daripada pengalaman AS dalam perkara ini (Jawatankuasa Pilihan Khas) kerana mereka yang sudah lama menggunakan inisiatif itu,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Pelosi bersama delegasi kongres AS tiba di Parlimen pada tengah hari tadi mengadakan perbincangan hampir sejam bersama Azhar yang turut disertai beberapa Ahli Parlimen Malaysia.

Azhar berkata dalam pertemuan itu, antara lain turut membincangkan beberapa isu semasa kedua-dua negara dan global termasuk mengenai kedudukan Malaysia di Tahap Tiga dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang Tahun 2022 serta isu industri kelapa sawit negara.

“Soal kedudukan Malaysia pada Tier 3  dalam laporan JNAS dibincangkan. Saya beritahu mereka (delegasi AS), menteri (Menteri Dalam Negeri) sedang memberi penerangan kepada Dewan Rakyat dan saya juga tekankan bahawa Malaysia ambil tindakan yang kukuh untuk membaiki keadaan. 

“Bagi isu kelapa sawit, saya tegaskan kepada mereka bahawa Malaysia tiada apa-apa yang hendak disembunyikan seperti dakwaan yang dilemparkan terhadap industri kelapa sawit negara, selain soal kelestarian seperti pemanasan global dan bencana banjir,” katanya.

Pelosi bersama delegasi kongres yang dalam rangka lawatan rasmi ke empat negara Asia, tiba di Malaysia menaiki pesawat khas pada 10.30 pagi tadi.

Selepas pertemuan di Dewan Rakyat, Speaker Dewan Perwakilan AS itu turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di ibu negara, hari ini. - BERNAMA 

Advertisement