Anda di sini

Membaca Legasi dalam Partisipasi Kepenyairan Sriwati Labot Melalui Resensi Sajak Terpilihnya 

Advertisement
 

Oleh Ja’afar Haji Hamdan

MEMPERKATAKAN tentang penulis wanita ketika menyertai Perhimpunan Karyawan Sarawak 2022 (PKS2022) yang merupakan pertemuan kali ke-11, menjadi amat khusus. Temanya “Menjejaki Legasi, Menganjak Partisipasi Karyawan Wanita Sarawak” jelas memperlihatkan keprihatinan penganjur terhadap penulis wanita di Sarawak. Secara umumnya, tema ini seakan-akan menggali dan cuba mengetengahkan penulis wanita dalam kepengarangan di negeri Sarawak. Kesungguhan ini menimbulkan persoalan yang bersimpang-siur untuk dihayati, sama ada dalam kancah sastera Sarawak atau sastera kebangsaan. Persoalan pertama yang mungkin menjentik dalam sanubari kita adalah tentang isu sebenar yang tersirat dalam tema ini. 
     Sisi negatifnya, apakah penulis wanita Sarawak berdepan dengan satu senario serius dalam kepengarangan? Apakah penulis wanita Sarawak semakin tandus dalam keberadaan sastera Sarawak mahupun sastera kebangsaan? Atau adakah penulis wanita Sarawak sudah tidak lagi menyumbang dalam perkembangan kesusasteraan di Sarawak? Atau juga, penulis wanita dianggap telah mundur dalam arus kesusasteraan negeri atau kebangsaan? Persoalan-persoalan ini berlegar dalam konteks keupayaan dan kemampuan penulis wanita itu sendiri. Yang pasti, penafian dan penolakan tanggapan negatif itu pasti dilakukan oleh penulis wanita negeri Sarawak kerana, upaya dan daya kepengarangan mereka sudah menganjak dengan deras dan laju. Maka, situasi ini memberi sisi positif tentang tema ini. Sisi positifnya, tema ini membuka satu horizon pemugaran semula tentang kepengarangan wanita Sarawak. Di samping membina perspektif baharu tentang usaha-usaha pemerkasaan penulis wanita Sarawak. Paling penting, tema ini telah mencetus satu anjakan pentafsiran yang boleh menjadi gagasan konkrit tentang penulis wanita Sarawak. Atau juga membina pemboleh ubah yang signifikan dengan keberadaan penulis wanita Sarawak dalam arus sastera masa kini.
    Apa pun tujuannya, sama ada yang tersurat atau yang tersirat, asasnya pada tahun 2022, PKS telah membawa satu agenda khusus untuk membina wibawa kepengarangan penulis wanita Sarawak. Justeru, untuk memudahkan penelitian atau pemahaman tentang tema ini, perlu rasanya dibuat sedikit penghuraian secara ringkas tentang pemaknaan kata kunci “legasi” dan “partisipasi” dalam konteks ini.   
    Secara umumnya, legasi ditakrifkan sebagai perwakilan. Sedangkan, dalam konsep tema ini, perwakilan bukan satu pemaknaan yang mulus untuk dijadikan sandaran membina ketokohan. Maka, takrif ini lebih sesuai dikaitkan dengan pewarisan yang membawa maksud kesinambungan sumbangan sama ada pemikiran dan sebagainya.
    Partisipasi pula memerihalkan suatu proses penyertaan atau ikut serta dalam sesuatu yang diceburi, diikuti atau dilaksanakan secara berterusan atau pernah dilakukan. Dalam hal tema ini, memadai takrif ini dijadikan sandaran perbincangan iaitu mengambil kira suatu pewarisan dalam suatu proses perkembangan bidang yang diceburi atau disertai.
    Maka, tema “Menjejaki Legasi, Menganjak Partisipasi Karyawan Wanita Sarawak” dalam skop “kejayaan penulis wanita Sarawak” menuntut satu kajian khusus yang lebih sistematik, sama ada secara tematik atau secara kronologi berdasarkan tempoh tertentu untuk memperlihatkan perkembangan, cabaran dan harapan penulis wanita di Sarawak.
    Walau bagaimanapun dalam perbincangan ini, konsep kata kunci “legasi dan partisipasi” cuba diperlihatkan dalam skop yang lebih khusus. Legasi dilihat sebagai sesuatu penanda yang menjadi sebutan, apatah lagi sekiranya legasi berkenaan meninggalkan impak yang signifikan dalam perubahan iklim sesuatu ranah kepengarangan. Ibarat suatu ‘ciptaan’ baharu dalam pengkaryaan.
Partisipasi pula disepadukan dengan tanggapan bahawa keterlibatan seseorang dalam situasi pengkaryaan baik secara mental, fikiran dan emosi atau perasaan yang mendorongnya untuk memberikan sumbangan sama ada upaya dan usaha untuk mencapai tujuan yang telah ditentukan terhadap kegiatan yang diceburi sehingga menampakkan pencapaian terhadap tujuan penyertaannya itu. 
     Dalam hal ini, beberapa takrif terhadap genre itu sendiri perlu diperhalusi untuk memudahkan tumpuan dalam usaha membina ketokohan seseorang penulis wanita itu sendiri. Maka, untuk memastikan tumpuan penelitian, elemen kepenyairan penulis wanita di Sarawak sewajarnya diberi perhatian. Ini penting, kerana sudah ada nama-nama besar dalam kepenyairan di Sarawak atau kebangsaan dalam kalangan wanita Sarawak.
     Namun, memperkatakan tentang kepenyairan wanita Sarawak sebenarnya tiada beza dengan kepenyairan lelaki di Sarawak. Kalaupun ada perbezaannya, mungkin dalam skala yang terlalu kecil. Sebab, perkembangan kepenyairan di negeri Sarawak itu sendiri tidak berganjak dengan drastik, hanya secara perlahan, antara tiada dan ada. Walaupun, penerima Sasterawan Negeri Sarawak kelima merupakan seorang penyair, itu tidak dapat dijadikan bukti sebagai data konkrit untuk membuat andaian perkembangan kepenyairan di Sarawak pesat dan maju. Apatah lagi dalam konteks kepenyairan wanita. Justeru, kepenyairan wanita di Sarawak tidak terakam dengan kemas dalam dokumentasi yang sedia ada. Kalau adapun, sifatnya sebagai catatan di mana-mana kertas kerja atau laporan berita. Itu pun bermusim mengikut keperluan dalam setiap pertemuan dan skop yang ditentukan oleh penganjur sesuatu acara. Untuk menulisnya secara komentar atau ulasan, setakat ini tiada siapa yang benar-benar mahu melakukannya. Justeru, kajian yang teliti dan kemas tentang kepenyairan penulis wanita Sarawak perlu dilakukan sama ada secara kecil-kecilan dahulu atau terus kepada fokus utama kerana kajian dan penelitian yang konkrit sehingga kini belum ada. Mungkin, PKS2022 ini boleh dijadikan sebagai jalan rintis ke arah melahirkan satu penerbitan khusus tentang kepenyairan atau kepengarangan wanita Sarawak.
     Kepenyairan wanita di Sarawak sebenarnya muncul dalam skala yang terlalu kecil. Sama ada karya atau penulisnya. Suatu waktu, sekitar tahun 1970 hingga 1980, kepenyairan wanita hanya terakam dalam nama-nama seperti Mergi Leo, Ratnawati Jamil dan Latifah Shebli (sekadar menyebut beberapa nama). Hanya selepas tahun 1990, muncul nama-nama seperti Sriwati Labot, Rosani Hiplee, Maslina Mahbu dan Maliah Adenan (sekadar menyebut beberapa nama).
     Kita pasti akan mendengar nama-nama yang amat asing untuk diperkatakan pada era ini, kecuali nama seperti Latifah Shebli, Sriwati Labot dan Rosani Hiplee. Walaupun era mereka ini jauh ke belakang, namun kepengarangan mereka dalam kepenyairan masih berterusan sehingga kini. Hanya Sriwati Labot yang pernah “hilang” sekejap sehingga dijangka akan lenyap. Namun, tanpa diduga kembali semula dengan kejutan dalam menampakkan kewibawaannya dalam kepenyairan.

 

     Generasi baharu yang semakin menyerlah dalam kepenyairan wanita Sarawak ialah Azrinna Jamahari, Shield Sahran (juga cerpen dan novel) dan Clariessa Kesulai. Nama mereka ini sengaja disebut kerana telah memperlihatkan wibawa masing-masing dalam kepenyairan mereka. Sebagai contoh, Azrinna sudah mampu menembusi Tunas Cipta dan Tukang Puisi. Shield Sahran pula sudah meletakkan dirinya dalam kelompok penyair wanita, sama ada dalam peraduan mahupun penerbitan. Sementara Clariessa Kesulai sudah pun berada dalam persada kepenyairan apabila terkelompok dalam penerima hadiah utama peraduan menulis puisi serta sering mengisi siaran penerbitan pelbagai penerbit. Ini bukan bermakna penulis wanita lain dalam konteks kepenyairan tidak baik, hanya keupayaan yang diketengahkan belum diperakui oleh pihak tertentu sebagai mampu berada dalam persada berkenaan. Maka, dalam hal ini, penyair wanita Sarawak seharusnya sudah berani menampilkan keupayaan dan kehebatannya dalam segala aspek kepengarangan mereka.
    Untuk perbincangan ini, saya cuba untuk memperkatakan saudara Sriwati Labot, yang saya anggap antara penyair wanita Sarawak yang penting dan perlu diberi perhatian. Keberadaannya sekarang setelah kembali daripada kesenyapan sebelum ini membuktikan bahawa daya kepengarangannya masih mempunyai kewibawaan yang tersendiri.
     Sriwati binti Haji Labot lahir pada 7 Julai 1974 di Simanggang, Sri Aman, Sarawak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Gran/Stumbin bermula Darjah 1 hingga Darjah 6 dan kemudian menuntut di Sekolah Menengah Simanggang bermula Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6. Beliau memperoleh Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia secara persendirian dan Diploma Pengurusan Perniagaan dari i-Cats pada tahun 2022. Beliau merupakan mantan Setiausaha ADUN N.26 Saribas dan sekarang bergiat dalam dunia perniagaan. Beliau mula menulis pada tahun 1996. 
     Setakat ini, Sriwati Labot mempunyai lebih kurang 30 buah buku antologi bersama dan dua buah buku kumpulan puisi persendirian yang berjudul Luka Merpati (terbitan PENA PADU, 2020) dengan kata pengantar ditulis oleh Sasterawan Negeri Sarawak ke-5, Encik Zainal Abidin Suhaili dan Cahaya (terbitan PENA PADU, 2020) yang diterjemahkan dalam dwi bahasa, iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, juga ditulis dalam tulisan jawi dengan kata pengantar oleh Sasterawan Negeri Sarawak ke-3, Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah. Kedua-dua buah buku tersebut telah dilancarkan di Festival Sastera Internasional Gunung Bintan, Indonesia. 
     Beliau telah menghasilkan lebih 100 buah puisi dan lebih 30 buah cerpen yang diterbitkan dalam pelbagai media massa. Beliau merupakan ahli Persatuan Penyair Malaysia, PUTERA, PENA dan PEMUISI. Antara anugerah dan pencapaian beliau ialah Penerima Anugerah Penulis Harapan 1997/1998 dalam Anugerah Sastera Negeri Sarawak pada tahun 1998.
Beliau menerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 1997 melalui sajak yang berjudul “Satu Tafsiran”, tahun 1999 dengan sajak yang berjudul “Kekasih II”, tahun 2000 dengan sajak yang berjudul “Menganyam Kesempurnaan” dan Hadiah Sastera Penulis Sarawak 2021 dengan sajak berjudul “Kesaktian Kata”. Beliau juga memenangi hadiah pertama, Sayembara E-Sastera Waganza ASEAN 4 (peringkat ASEAN) pada tahun 2020 melalui sajak berjudul “Malaysia Baharu II”. Sajak beliau berjudul “Cinta Pantai Merdeka” memenangi tempat ke-4 Peraduan Menulis Puisi Merdeka anjuran Seniman PAKSI, IDE dan NUHA pada tahun 2019.
     Antara penyertaan Sriwati dalam antologi sajak terdapat dalam antologi Istana Kasih (2019), Angin, Ombak dan Gemuruh Rindu (2020), Terima Kasih Tuhan (2020), Tulah (2020), Yang Kau Bunuh Adalah Cinta (2020), Bukan (2020), Dalam (2020), Sayap Impian (2020), Batas Suci (2020), Tanjak Bahasa (2021), Citra yang Tak Padam (2021), Menjejak Jalan Kenangan (2021), Jazirah 2 (2021), Wayang Petualang (2021), Virus (2021), Citra Insani (2021), Baruh (2021), Hujan (2021), Ombak, Camar dan Kerinduan (2021), Mendengar Kembali Suaramu (2021), Keindahan dan Keistimewaan Sarawak (2022), Kapcai (2022), Miri Kota Cinta (2022), Delusi Cotard di Daerah Susastera (2022), Setelah Terbit Mentari (2022) dan Pesona Hati Raikan Cinta (2022).
     Untuk menemui kewibawaan Sriwati sebagai rasional untuk memberi perhatian terhadap kepenyairan beliau, diperkatakan secara resensi yang ringkas tentang penaakulannya dalam pengkaryaan melalui dua buah sajak yang sekali gus dibuat juga perbandingan secara dimensi tempoh kepenyairannya. Maka, resensi perbandingan ini hanya untuk mengetengahkan proses kepengarangan kepenyairan setelah melalui hampir 21 tahun.
     Sajak pertama merupakan sajak yang terbaharu dan diiktiraf sebagai antara lima sajak terbaik di negeri Sarawak pada tahun 2021 serta tersiar dalam majalah Dewan Sastera Bil. 4/2022, iaitu sajaknya yang berjudul “Kesaktian Kata”:

Wahai rawana di puncak hukama
jadikanlah aku sebuah kota tanda
kerana kau tidak perlukan jiwa
ambil saja rangka
dan jangan kau pinta cinta.

Lupakah kau wahai rawana
gunung pun runtuh hanya dengan doa
laut terbelah, bumi merekah
masihkah kata-kata kau anggap lemah?
Kata-katalah yang memberikan cinta
memugar haruman hati
membentuk neraca nurani
menyalur alir bicara
meraut halus akal budi.

Andainya suara kata kau humban ke tepi
kekallah kau menjelma sebagai rawana
yang tidak mengenal warna rasa
pada keindahan kelopak jiwa.

Harap engkau mengerti
sakti suara ini.

    Sajak kedua pula, merupakan sajak yang diiktiraf sebagai penerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak pada tahun 2000 yang berjudul “Menganyam Kesempurnaan”:

Dengan jemari hati yang suci
belahlah rotan-rotan keinsafan
raut dengan pisau tawakal
jemurkan di pelantar sedar
agar hijaunya menjadi matang
rapuhnya menjadi teguh, dipancari cahaya fikir.

Silangkan bilah satu - persatu
dengan akal yang bijaksana
tindihkan warna keseimbangan
dunia dan akhirat, rapatlkan saf 
berpandukan iman dan Qalam suci
tentukan penjuru berpadu ke arah ketentuan Yang Satu.
 
Andai bilahnya tersasar, berpatahlah ke bucu sedar
usah gusar, jadikan iktibar
andai anyaman jarang berlubang, eratkan ikatan ketakwaan
agar terbentuk kesempurnaan.

Teruskanlah anyaman ini, setabah usia menganyam hari
hati-hatilah mengatur silang, agar tindihan tidak menyimpang
ingatlah pada hala hakiki, penjuru Ilahi yang abadi.

Dengan rotan-rotan kehidupan
anyamlah kesempurnaan
meskipun belum tentu sempurna.        

    Berdasarkan kedua-dua sajak berkenaan, dapat kita temui keupayaan Sriwati dalam memilih kata atau diksi dengan tautan imej yang selari, sepadan dan padu untuk dijadikan sebagai ungkapannya. Bayangkan setelah 21 tahun penghasilan “Menganyam Kesempurnaan” hingga terhasil “Kesaktian Kata”, Sriwati masih mampu memperkukuhkan nilai kata imej secara harmoni, mulus dan tulus.
    Perbezaan yang ketara, pada tahun 2000, Sriwati melalui “Menganyam Kesempurnaan” memanfaatkan imej sejalin secara mutlak sehingga alir ceritanya bersahaja tetapi tersirat. Tetapi tidak melalui “Kesaktian Kata” yang hanya mengemukakan watak “Rawana” sebagai sebab dan akibat penceritaan, sehingga pembaca mencari rasional untuk menekuni mesej utama dalam sajak tersebut.
    Walaupun penelitian ini hanya untuk mengetengahkan kehadiran semula Sriwati Labot dalam kancah kepenyairan wanita Sarawak, jelas bahawa Sriwati tidak lagi menoleh ke belakang. Kemunculannya bersama-sama gagasan kewibawaannya ini, memberi satu petanda bahawa penulis wanita di Sarawak masih terus membina legasi dan memanfaatkan partisipasi kepengarangannya. 
    Kepenyairan wanita Sarawak memerlukan keberterusan usaha dan upaya, sama ada oleh penulis itu sendiri mahupun pihak-pihak yang berkaitan dengan perkembangan dan kelestarian sastera di Sarawak. Formula yang mampu menyegerakan kewibawaan seseorang penyair tidak pernah ada jalan pintas. Semuanya perlu melalui jalan-jalan yang membudayakan keintelektualan itu sendiri.
Justeru, setiap penulis wanita Sarawak perlu siap siaga dengan penerokaan baharu, teknik, gaya dan pemikiran baharu yang selaras dengan tuntutan “Berfikir Aras Tinggi” untuk mencipta dan menghasilkan karya yang mampu melonjakkan upaya, wibawa dan keunikan kepengarangan tersebut. Titik tolaknya bermula daripada diri sendiri untuk berani dan mahu berubah dan berganjak ke depan dengan gemilang.

 
 
Advertisement